Gambar hiasan
KUANTAN – Dua bekas kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang dihukum penjara lima dan dua tahun selepas didapati bersalah mengubah suai senarai penerima darjah kebesaran dan pingat negeri.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh.
Tertuduh pertama, Mohd Isa Mohd Yusof, 40, disabitkan atas 26 pertuduhan, manakala tertuduh kedua, Amer Syafeeq Aziz, 34, disabitkan atas dua pertuduhan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Isa dan dua tahun bagi setiap pertuduhan terhadap Amer Syafeeq, yang berjalan secara serentak.
Mohd Isa diwakili peguam Mohammad Hamizey Mat Taib, manakala Amer Syafeeq diwakili Datuk Zaharman Zainal Abidin. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim dan Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi, lapor Berita Harian.
Peguam kedua-dua tertuduh memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, manakala pihak pendakwaan memohon hukuman penjara dikekalkan memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius.
Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan, dengan menetapkan jaminan RM130,000 terhadap Mohd Isa dan RM10,000 terhadap Amer Syafeeq.
Pada 28 Disember 2022, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengubah suai kandungan laman sesawang Sistem Pengurusan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang tanpa kebenaran antara 19 Februari 2020 hingga 12 Oktober 2021.
Mohd Isa didakwa memasukkan nama 26 individu ke dalam sistem berkenaan sebagai penerima pingat Datuk dan Datuk Seri daripada Sultan Pahang, sedangkan individu terbabit tidak disenaraikan untuk menerima anugerah berkenaan.
Amer Syafeeq pula didakwa melakukan kesalahan sama dengan memasukkan nama tiga individu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



