
SEMOP – Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol meneruskan tradisi menziarahi kedua-dua ibu bapanya bagi memohon restu menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 pada Sabtu.
Kunjungan pada Jumaat itu dilakukan sebelum beliau dijadualkan menyerahkan borang pencalonan bagi kerusi DUN N.42 Semop di Pusat Penamaan Calon Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Meradong esok.
Ketika dihubungi pada Jumaat, Abdullah memaklumkan pertemuan bersama bapanya yang merupakan pesara guru berusia 88 tahun serta ibunya yang berusia 81 tahun menjadi amalan tetap beliau setiap kali menjelang pilihan raya sejak mula bertanding di kerusi berkenaan pada 2011.
“Ibu adalah sosok yang sering menegur kami adik-beradik dan setiap kali berjumpa menjelang pilihan raya, beliau akan memberi nasihat yang sama supaya jaga kesihatan, sentiasa jujur dan jangan ‘ngakal’,” katanya.
Dalam dialek tempatan di Sarawak, perkataan ngakal membawa maksud menipu atau memperdaya.
Abdullah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi DUN Semop buat penggal keempat selepas memenanginya pada PRN 2011, 2016 dan 2021.



