
SHAH ALAM – Tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama tiga orang awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 96.2 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine atau syabu menggunakan aset TUDM, minggu lalu.
Mereka ialah Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, 33; Leftenan Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, 27; Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, 34; Tan Sui Seng, 48; Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin, 28; dan Afifah Amdas, 34.
Kesemua tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama mengedar dadah berkenaan di Pangkalan TUDM Subang kira-kira jam 6.50 petang, 17 November lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Sazali Omar, Mohd Fairuz Johari dan Nur Amirah Zahari.
Amir Ariffudin diwakili peguam Arif Azmi, Johan Radzi dan Raqib Osman, manakala Muhammad Arief Fauzan diwakili Muhammad Amin.
Muhammad Amirul Faisall pula diwakili Alif Ahmad Tarmizi, sementara Tan diwakili Mohd Anif Rafih.
Nur Hanis dan Afifah bagaimanapun belum diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan 23 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Pendakwaan itu susulan penahanan 13 individu membabitkan tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam menerusi operasi di Lembah Klang dan Labuan antara 17 hingga 19 November lalu.
Kesemua mereka disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah menggunakan aset TUDM.
Selain enam individu yang didakwa hari ini, tujuh lagi dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.


