
KOTA KINABALU- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menolak gesaan Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, supaya PKR tidak bertanding di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Peto Galim berkata, keputusan parti di Sarawak dibuat atas pertimbangan politik di negeri itu.
“Jika beliau menjunjung autonomi politik Sabah, beliau juga harus menghormati hak rakyat Sabah untuk menentukan sendiri siapa yang layak mewakili mereka.
“Masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai penyertaan PKR Sabah dalam PRU16 kerana tarikh pilihan raya itu belum dimuktamadkan.
“Buat masa ini, keutamaan pimpinan parti adalah melestarikan dan membangunkan negara serta memastikan hasil pembangunan dirasai rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata, dari segi organisasi, PKR Sabah ditubuhkan serentak dengan penubuhan PKR di peringkat nasional.
“Sabah terlibat sejak awal dalam pembentukan parti. Semangat ini mencerminkan pembentukan Malaysia, yang turut melibatkan Sabah dan Sarawak sebagai pengasas bersama,” kongsinya.
Menurutnya, PKR Sabah membawa agenda reformasi yang jelas melalui pentadbiran yang telus dalam mengurus peruntukan, cekap menyelesaikan masalah dan bertanggungjawab kepada rakyat.
“Di peringkat Persekutuan, kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatukan pelbagai parti dalam Kerajaan MADANI.
“Kerjasama itu mewujudkan kestabilan politik untuk melaksanakan reformasi, manakala tatakelola yang baik membantu memastikan bantuan kerajaan sampai kepada rakyat,” tegasnya.
Tambahnya lagi, di Sabah, kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) turut memperkukuh kestabilan politik dan membolehkan Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada keperluan rakyat.
“Muafakat ini turut menyumbang kepada peningkatan bayaran interim bagi pemberian khas 40 peratus Sabah kepada RM1.5 bilion serta kemajuan terbaik dalam penyelesaian perkara berkaitan MA63 sepanjang sedekad lalu,” ujarnya.
Selain itu, Peto berkata, kedudukan ibu pejabat sesebuah parti bukan satu-satunya jaminan bahawa kemudahan infrastruktur dan ekonomi rakyat Sabah akan menjadi semakin baik.
“Apa yang lebih utama adalah komitmen dan kemampuan menyampaikan perkhidmatan berkesan kepada rakyat,” kongsinya.


