
JERANTUT – Hari Apresiasi Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Jengka 24, dekat sini, bukan sekadar majlis penyampaian hadiah, tetapi meraikan usaha, kesungguhan, disiplin dan ketekunan murid sepanjang tahun ini.
Ketua Peneroka FELDA itu, Razak Daud berkata, setiap anugerah diterima adalah bukti kejayaan tidak datang dengan mudah, sebaliknya hasil usaha berterusan, doa yang tidak putus serta sokongan guru dan ibu bapa.
“Tahniah kepada yang berjaya menerima anugerah. Teruskan usaha, jangan cepat berpuas hati.
“Jadikan kejayaan ini sebagai pemangkin untuk melangkah lebih jauh dan cemerlang,” katanya ketika berucap merasmikan majlis itu.
Hadir sama Guru Besar SK FELDA Jengka 24, Mat Romli Norman dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Azwan Fairuz Ishak.
Razak turut menasihatkan murid yang belum berpeluang menerima anugerah supaya tidak berkecil hati kerana setiap anak mempunyai bakat dan kelebihan masing-masing.

“Yang penting, jangan pernah berhenti berusaha. Kejayaan itu dijanjikan kepada mereka yang tidak jemu berusaha dan tidak berputus asa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan guru SK FELDA Jengka 24 yang tidak pernah jemu mendidik, membimbing dan membentuk sahsiah murid.
“Tanpa pengorbanan cikgu, tidak mungkin anak-anak kita berada di tahap ini,” katanya.
Penghargaan sama turut diberikan kepada ibu bapa dan penjaga atas sokongan, kerjasama dan kepercayaan yang diberikan kepada pihak sekolah.
“Kejayaan anak-anak kita adalah kejayaan bersama yang perlu diraikan dan kita kenang,” katanya.
Beliau berharap SK FELDA Jengka 24 akan terus cemerlang dan melahirkan murid yang bukan sahaja berjaya dalam akademik, tetapi juga berakhlak mulia, berdisiplin dan berdaya saing.



