
KOTA KINABALU – Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mencatat pencapaian apabila sebanyak 12 daripada 29 perkara berjaya diselesaikan dalam tempoh hanya empat tahun dibawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir Ts Mustapha Sakmud berkata, pencapaian itu antara perkembangan penting dalam pelaksanaan MA63 sejak sedekad lalu sekali gus mencerminkan kemajuan usaha menyelesaikan tuntutan berkaitan hak Sabah dan Sarawak.
“Keutamaan saya ialah memastikan pelaksanaan MA63 terus diangkat sebagai agenda nasional.
“Antara perkembangan setakat ini ialah pewartaan Pemberian Khas interim Sabah pada kadar RM1.5 bilion setahun, pelancaran Dashboard MA63 untuk memudahkan semakan orang ramai dan permulaan libat urus dengan SPR mengenai perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen,” katanya menerusi perkongsian di Facebook rasminya, pada Selasa.
Menurut Ahli Parlimen Sepanggar itu, Karnival MADANI Kenali Borneo yang bermula di Melaka baru-baru ini turut membuka ruang kepada lebih ramai rakyat memahami sejarah pembentukan Malaysia serta kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.

Selain itu, Mustapha turut memperincikan pencapaian lain menerusi dua lagi portfolio perkhidmatannya sebelum ini iaitu sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
“Di Kementerian Sumber Manusia, saya terlibat dalam libat urus pindaan Ordinan Buruh Sabah yang kini memberi pekerja perlindungan lebih baik, termasuk cuti bersalin 98 hari, cuti paterniti bagi yang layak dan waktu kerja biasa 45 jam seminggu.
“Di Kementerian Pendidikan Tinggi, antara usaha yang dekat di hati saya ialah membantu anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian, memperluas capaian Jom Masuk U, memperkasa hak mahasiswa dan membuka ruang untuk para siswa menyuarakan pandangan melalui forum TALK TO US,” jelasnya.
Justeru, beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan peluang kepadanya untuk berkhidmat dalam tiga portfolio berbeza disamping mendengar sendiri keperluan rakyat dan membawa suara mereka ke peringkat Persekutuan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah itu juga menyifatkan sorotan pencapaian itu sebagai peringatan agar beliau bekerja lebih keras dan berkesan.
“Masih banyak yang perlu diselesaikan agar rakyat terbanyak dapat merasakan ‘islah: atau reformasi yang dibawakan oleh Kerajaan MADANI.
“Saya mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik kepada Perdana Menteri dan sentiasa mengurniakan beliau hikmah dalam memimpin Malaysia serta rantau ini mendepani cabaran geopolitik dan geoekonomi yang semakin rumit.
“Semoga Allah SWT mempermudah segala usaha kita demi Malaysia yang makmur dan disegani dunia,” ujarnya.



