Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga dan terlatih dalam membanteras kegiatan penyeludupan dadah, termasuk yang membabitkan sindiket berskala besar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejayaan polis membongkar beberapa kes penyeludupan dadah di pintu masuk utama negara membuktikan keupayaan pasukan itu dalam menangani ancaman berkenaan.
Beliau berkata, antara kes terbaharu ialah penahanan 13 individu, termasuk tujuh anggota penguat kuasa beruniform dan enam orang awam berhubung kegiatan penyeludupan dadah di lokasi strategik di bawah Kementerian Pertahanan.
Katanya, beliau menerima taklimat terkini daripada Ketua Polis Negara berhubung tangkapan berkenaan, manakala siasatan dan operasi susulan masih giat dijalankan.
“Walaupun liputan media kebelakangan ini lebih tertumpu kepada siri kejayaan tangkapan kes dadah, pihak berkuasa sebenarnya turut memantau rapat dan membanteras jenayah lain seperti penipuan telekomunikasi (telecommunication fraud) dan penipuan dalam talian (online scam).
“Jenayah ini mungkin berubah dan sindiket boleh datang dengan apa juga strateginya, tetapi saya bagi jaminan bahawa ia tidak akan terlepas daripada radar intipan kita.
“Cuma cepat atau lambat sahaja, bak kata pepatah Melayu, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah juga jatuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE 27), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata isu keselamatan dan penyeludupan itu turut dijadualkan untuk dijawab dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, selepas ini.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan penganjuran AISSE 27 yang dijadualkan berlangsung Januari ini sebagai platform terbaik untuk pegawai narkotik Bukit Aman menimba pengetahuan serta meneroka penggunaan peralatan dan teknologi baharu.
Katanya, persidangan dan bengkel yang dianjurkan akan memberi tumpuan kepada corak ancaman dadah di peringkat global, mengambil kira kedudukan strategik Malaysia yang sering menjadi sasaran sindiket sebagai hab pengedaran.
Beliau optimis pameran berkenaan mampu memberi kesan positif terhadap kesiapsiagaan pasukan polis dalam menangani ancaman dadah.



