
KOTA KINABALU – Gerakan koperasi di Sabah terus menunjukkan perkembangan positif apabila nilai aset terkumpulnya melepasi RM1.2 bilion, dengan jumlah perolehan meningkat kepada RM913.33 juta pada 2025 berbanding RM774.45 juta pada tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad bin Alamin berkata, pencapaian itu turut disokong peningkatan jumlah koperasi kepada 2,047 buah dengan keanggotaan seramai 389,000 orang setakat 31 Disember 2025.
Menurut Alamin, jumlah berkenaan meningkat berbanding 1,994 koperasi dengan 375,559 anggota yang direkodkan pada 2024.
“Pencapaian itu membuktikan gerakan koperasi di Sabah mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan menjadi antara tonggak penting dalam memperkukuh ekonomi rakyat.
“Saya menegaskan gerakan koperasi perlu berani keluar daripada zon selesa dan tidak terus bergantung kepada bantuan serta geran semata-mata, sebaliknya mengamalkan pendekatan keusahawanan yang lebih agresif, profesional dan berorientasikan penciptaan nilai.
“Kepimpinan koperasi perlu memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu memperkukuh tadbir urus, pengurusan risiko dan profesionalisme kewangan; menguasai transformasi digital serta kecerdasan buatan (AI); mempelbagaikan sumber pendapatan; dan memperkukuh sinergi dalam ekosistem KUSKOP,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program CEO Talk: “Berani Berubah, Berani Maju: Resepi Kepimpinan Transformasi Koperasi” anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Alamin turut menggalakkan koperasi meneroka peluang dalam sektor pertanian, perikanan dan peruncitan bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.
Dalam pada itu, menekankan kepentingan penglibatan golongan muda sebagai pelapis kepimpinan koperasi serta penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing.
“Program berkenaan menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri daripada Anggota Lembaga Koperasi, pengurus, kakitangan koperasi, pegawai agensi penyelia serta usahawan.
“Saya mencabar semua peserta supaya membawa pulang sekurang-kurangnya satu keputusan transformasi yang berani untuk dilaksanakan dalam koperasi masing-masing,” tegasnya.



