
KANGAR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis menyediakan pelan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir bagi memastikan kelancaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang melibatkan 3,838 calon di seluruh negeri ini.
Pengarah Pendidikan Perlis, Ishak Awang berkata, langkah itu diambil sebagai persediaan menghadapi sebarang situasi luar jangka terutama risiko banjir sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Taklimat penyelarasan bersama agensi kerajaan sudah diadakan pada 17 September lalu bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Pelan menghadapi situasi luar jangka juga berada dalam keadaan siap siaga untuk diaktifkan sekiranya perlu,” katanya pada sidang akhbar peperiksaan bertulis SPM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma di sini hari ini.

Katanya, pihak jabatan akan menyediakan kemudahan seperti pengangkutan atau penginapan asrama sekiranya kawasan calon terjejas akibat banjir.
Menurutnya, seramai 3,838 calon menduduki peperiksaan itu di 37 pusat peperiksaan seluruh Perlis, merangkumi 3,664 calon sekolah dan 174 calon persendirian.
Katanya, seramai 231 petugas turut dilantik bagi memastikan perjalanan peperiksaan berjalan lancar termasuk lapan penyelia kawasan, 37 ketua pengawas, 140 pengawas dalam kalangan guru serta 46 petugas sukarelawan.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan calon dapat menduduki peperiksaan dengan lancar walaupun berdepan kemungkinan cuaca buruk atau situasi kecemasan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ishak berkata, empat calon SPM tahun ini akan menduduki peperiksaan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini berikutan masalah kesihatan dan kecederaan.
Katanya, dua daripada calon terbabit menerima rawatan psikiatri, seorang menjalani rawatan berkaitan saraf manakala seorang lagi dirawat akibat kemalangan.
Beliau berkata, seramai 24 calon berkeperluan pendidikan khas turut berdaftar menduduki peperiksaan tahun ini melibatkan pelbagai kategori ketidakupayaan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan dan tahap kesihatan anak masing-masing selain memastikan mereka hadir menduduki semua kertas peperiksaan yang didaftarkan.



