
KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum mengadakan sebarang perbincangan khusus berhubung kemungkinan menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keutamaan gabungan itu ketika ini adalah memperkukuh kekuatan GRS di seluruh kawasan sebelum menentukan hala tuju politik bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Sebarang keputusan mengenai kerjasama dengan parti lain perlu dibincangkan secara bersama dalam GRS kerana ia membabitkan pendirian gabungan yang terdiri daripada beberapa parti komponen.
“Sehingga kini, kita tidak pernah membincangkan secara khusus mengenai usaha menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak kerana keutamaan GRS sebelum ini, termasuk dalam mesyuarat yang lalu, adalah untuk memperkukuh kekuatan GRS di seluruh kawasan,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Program Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Peringkat Negeri Sabah 2026, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut kemungkinan kerjasama dengan PH, Armizan berkata, GRS tidak menutup ruang untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, namun perkara itu perlu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) GRS apabila tiba masanya.
Tambahnya, GRS sebelum ini pernah bekerjasama dengan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN), selain menjalin kerjasama dengan parti lain selepas pilihan raya berkenaan.
“Ini tidak bermaksud kita menutup pintu sepenuhnya terhadap kerjasama.
“Jika kita lihat, GRS merupakan gabungan yang terbuka. Dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu, kita pernah menjalinkan kerjasama dan kerjasama turut dilaksanakan dengan parti lain selepas PRN,” jelasnya.
Menurutnya, keutamaan adalah memastikan kestabilan kerajaan negeri supaya pentadbiran dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Katanya, isyarat yang diberikan rakyat menerusi keputusan PRN lalu juga menjadi antara indikator penting dalam menentukan hala tuju GRS pada masa hadapan.
“Pandangan ahli parti komponen di peringkat akar umbi turut perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan mengenai kerjasama politik dibawa ke peringkat MKT.
“Keputusan bukan berdasarkan pandangan Armizan semata-mata. Kita juga memerlukan maklum balas daripada ahli parti-parti komponen GRS di peringkat akar umbi sebelum perkara itu dibincangkan dalam Majlis Tertinggi apabila tiba masanya,” kongsinya.
Sementara itu, mengulas pendirian parti lain yang berhasrat mempertahankan kerusi sedia ada dan mengintai kerusi tambahan pada PRU16, Armizan berkata, setiap parti mempunyai kebebasan menentukan hala tuju masing-masing dalam menghadapi pilihan raya.
“Pandangan saya tidak penting berhubung pendirian yang dibuat oleh parti-parti lain. Saya fikir setiap parti mempunyai pertimbangan masing-masing dan setiap parti bebas serta mempunyai hak untuk menentukan hala tuju mereka dalam menghadapi pilihan raya,” ujarnya.



