
KOTA KINABALU – Sebanyak 174 saman dikeluarkan menerusi Ops Lintas Sempadan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah dan Sarawak selama dua hari.
Pengarah JPJ Negeri Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, sebanyak 438 kenderaan diperiksa sepanjang operasi itu, dengan 84 daripadanya dikenakan tindakan penguatkuasaan.
“Fokus operasi kita adalah kepada kenderaan perdagangan dan juga pengangkutan persendirian, termasuk pemeriksaan pematuhan lesen, memastikan lesen sah, pemandu mempunyai lesen memandu kompeten (CDL), syarat permit dipatuhi serta kenderaan diselenggara dengan baik dan tidak berlaku pelanggaran lebih muatan.
“Sebanyak 45 notis lain turut dikeluarkan, manakala sebuah kenderaan disita sepanjang operasi berkenaan,” katanya semasa sidang media selepas meninjau Ops Rentas Sempadan JPJ Sabah bersama JPJ Sarawak di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, antara kesalahan utama direkodkan ialah 40 kesalahan membabitkan cukai jalan tamat tempoh, 34 kesalahan tiada perlindungan insurans dan 24 kesalahan lesen memandu tamat tempoh.
Operasi itu membabitkan 60 pegawai dan anggota, terdiri daripada 40 anggota JPJ Sabah dan 20 anggota JPJ Sarawak, dengan laluan operasi bermula dari Kuching hingga Kota Kinabalu.
Harris berkata, penguatkuasaan itu akan diteruskan menerusi pendekatan strategik bagi meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya, termasuk di kawasan yang kurang diliputi operasi rutin.
Dalam pada itu, beliau berkata JPJ Sabah melaksanakan lebih 40 program advokasi sepanjang tahun ini menerusi pameran, ceramah kesedaran, edaran kit keselamatan dan kerjasama dengan Majlis Keselamatan Jalan Raya.
Beliau turut menggesa orang awam menyalurkan aduan berserta maklumat dan bukti bergambar melalui aplikasi MyJPJ bagi membantu pihaknya mengambil tindakan terhadap pelanggaran peraturan jalan raya.
“Kita tahu JPJ tidak boleh berada di semua tempat pada semua masa. Jadi, kita mengharapkan kerjasama orang awam untuk menyampaikan maklumat kepada kami,” ujarnya.



