
SHENZHEN – Pertemuan tiga hala antara Presiden China, Xi Jinping; Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Russia, Vladimir Putin disifatkan penting dalam memelihara keamanan serta kestabilan serantau dan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pertemuan itu yang turut memberi manfaat kepada Malaysia, khususnya dalam hubungan perdagangan dengan negara lain termasuk Russia, terutama berkaitan import minyak.
Semalam, ketiga-tiga pemimpin berkenaan mengadakan sidang kemuncak tiga hala pertama seumpamanya di sini sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-33 bagi membincangkan isu utama keselamatan antarabangsa.
“Bagi negara-negara, ini sangat penting kerana ia memberi jaminan keamanan dan bagi rantau ini dan juga Malaysia supaya fokus kita bukan saja keamanan, tetapi perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Anwar berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dua hala selama 20 minit dengan Xi di Qilin Villa State Guest House di sini, hari ini.
Pertemuan itu merupakan yang keempat antara Anwar dan Xi, selepas pertemuan terdahulu di Beijing pada 7 November 2024, Putrajaya pada 16 April 2025 dan Beijing pada 2 September 2025.



