KUALA LUMPUR – Usaha Kerajaan MADANI memelihara institusi bersejarah, seperti Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) yang mempunyai sumbangan kepada masyarakat tidak seharusnya disalah tafsir sebagai pemberian keistimewaan kepada sesuatu kaum.
Sebaliknya, penganalisis politik, Dr Siti Maisarah Abd Rahman berpandangan, keputusan mengurangkan premium tanah KLSCAH daripada anggaran RM4.67 juta kepada RM1,000
perlu dilihat sebahagian tanggungjawab kerajaan dalam mempertahan warisan serta ruang demokrasi negara.
Menurut beliau, pedekatan itu juga perlu difahami secara teliti berdasarkan perubahan syarat kegunaan tanah kepada institusi secara kekal yang diluluskan Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan pada 14 September 2026.
“Apabila tanah berkenaan tertakluk kepada syarat kegunaan institusi dan sekatan warisan, ia tidak lagi mempunyai nilai pembangunan komersial seperti hartanah yang boleh dibangunkan untuk tujuan keuntungan.
“Justeru, perbandingan antara anggaran premium RM4.67 juta dengan kadar nominal RM1,000 tanpa mengambil kira perubahan status tanah hanya akan memberikan gambaran yang tidak lengkap mengenai keputusan kerajaan.
“Lebih penting, keputusan itu bukan bermaksud KLSCAH menerima tanah secara percuma kerana berdasarkan notis tanah bertarikh 1 Oktober 2026, institusi berkenaan masih perlu menjelaskan bayaran awal RM5,011 serta cukai tanah tahunan RM3,151 sepanjang tempoh pajakan 99 tahun,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Siti Maisarah berkata, KLSCAH bukan sekadar sebuah bangunan yang mewakili komuniti tertentu, sebaliknya mempunyai sejarah sebagai ruang pertemuan pelbagai kelompok masyarakat, termasuk pemimpin politik, aktivis dan tokoh masyarakat yang memperjuangkan kepentingan awam serta perkembangan demokrasi.
“Memelihara institusi yang mempunyai sejarah dan sumbangan kepada masyarakat bukan bermaksud memberikan keistimewaan pada sesuatu kaum, namun sebahagian daripada usaha memastikan sejarah, kepelbagaian dan ruang demokrasi negara terus dipelihara untuk generasi akan datang.
“Jangan melihat sesebuah institusi hanya berdasarkan nama atau latar belakang komuniti yang menaunginya kerana sumbangan dan manfaatnya kepada masyarakat perlu dinilai.
Kewujudan KLSCAH penting kerana bangunan itu menyediakan ruang kepada NGO, mahasiswa dan aktivis masyarakat.
“Golongan itu dapat menganjurkan forum awam, wacana intelektual serta program kebajikan pada kadar sewaan rendah. Fungsi itu menjadikannya sebahagian ekosistem masyarakat sivil yang menyediakan ruang kepada rakyat bertukar pandangan, membahaskan isu semasa dan menyuarakan pandangan secara terbuka,” katanya.
Bagaimanapun, Siti Maisarah berpendapat, wujud keperluan untuk kerajaan juga memastikan pendekatan pemeliharaan warisan dilaksanakan secara konsisten dan terbuka kepada institusi lain yang mempunyai nilai sejarah serta fungsi sosial setara tanpa mengira kaum dan agama.
“Kepelbagaian sejarah yang membentuk negara perlu dihargai sebagai sebahagian daripada identiti bersama rakyat Malaysia, bukannya dijadikan punca perpecahan.
“Warisan sesuatu komuniti tidak semestinya menjadi milik komuniti itu sahaja. Apabila sesebuah institusi menyumbang kepada perkembangan masyarakat dan demokrasi, nilai sejarahnya turut menjadi sebahagian daripada khazanah negara yang perlu dipelihara,” katanya.



