KALABAKAN – Pembinaan saluran paip bawah tanah dari Empangan Cinta Mata ke Pulau Sebatik dicadangkan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air bersih yang berulang di kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, perkara itu juga dibangkitkan dalam sidang Parlimen baru-baru ini ketika meminta penjelasan mengenai status dan perkembangan terkini projek Empangan serta Loji Rawatan Air Cinta Mata yang dijangka siap pada 2028.
Katanya, cadangan itu bagi memastikan penduduk Sebatik tidak terus bergantung kepada penghantaran air menggunakan lori tangki terutama ketika musim kemarau yang lazim berlaku setiap dua tahun.
“Bagi penyelesaian tuntas masalah bekalan air di Sebatik, cadangan seperti itu adalah pendekatan yang dilaksanakan di Pulau Banggi.
“Jadi, ini merupakan cadangan kita kepada Kerajaan Persekutuan, selain penambahan kapasiti simpanan air sungai (river storage),” katanya kepada media selepas menyempurnakan program Bayu Kasih 6.0 di Pejabat Parlimen Kalabakan, pada Jumaat.

Suryady berkata, bagi penyelesaian jangka pendek, kerajaan telah mengambil langkah membaiki telaga dan tiub telaga sedia ada untuk kegunaan penduduk.
“Namun kemudahan itu perlu diselenggara secara berkala dengan kualiti air turut diberi perhatian,” ujarnya.
Menurut Suryady, paras air di Empangan Wallace Bay Pulau Sebatik masih berada pada tahap sederhana.
“Walaupun hujan berlaku di kawasan bandar Tawau, keadaan sama tidak dirasai di Pulau Sebatik, menyebabkan paras air empangan berkenaan masih belum mencukupi.
“Sehubungan itu, kita berharap usaha Jabatan Air mengagihkan bekalan menerusi bantuan penghantaran air terus ke rumah penduduk dapat diteruskan bagi memastikan keperluan bekalan air di kawasan berkenaan dapat dipenuhi.
“Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan juga akan memulakan inisiatif membantu kira-kira 1,000 rumah menerusi pemberian tiga karton air yang dijadualkan bermula minggu hadapan,” tambahnya.
Terdahulu, Program Bayu Kasih 6.0 menyaksikan pengagihan lebih 8,000 Mushaf al-Quran sumbangan Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Cakna Darul Iman (Iman Care) untuk sekolah-sekolah dan agensi keselamatan Parlimen Kalabakan.



