
KABONG – Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes kehilangan diesel sebuah lori yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pertukaran bahan api berkenaan menggunakan dadah jenis syabu di Kampung Sessang.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) di pekarangan Klinik Kesihatan Nyabor kira-kira jam 12.15 tengah hari pada Khamis.
Menurutnya, kejadian disedari pemilik lori berusia 43 tahun pada Rabu selepas mendapati diesel dalam tangki kenderaannya hilang dengan kerugian dianggarkan RM487.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek mengaku mendapatkan dua tong diesel daripada seorang lelaki warga Indonesia pada Selasa lalu.
“Lebih mengejutkan, suspek dipercayai membayar diesel berkenaan dengan menyerahkan dua tiub berisi dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM100,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mathew berkata, suspek turut mengaku pernah mendapatkan diesel daripada individu sama beberapa kali sebelum ini dengan menggunakan syabu sebagai bahan pertukaran.
Menurutnya, siasatan awal mendapati diesel berkenaan dipercayai dicuri daripada lori dan jentolak yang ditinggalkan di sepanjang laluan pembinaan jalan dari Roban menuju ke Jambatan Kaba.
Beliau berkata, diesel yang diperoleh kemudian dipercayai dijual semula kepada individu berminat pada harga RM85 bagi setiap tong berkapasiti 30 liter.
Dalam pada itu, Mathew berkata, suspek ditahan ketika dipercayai dalam perjalanan untuk mendapatkan bekalan diesel daripada lelaki warga Indonesia terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.
Polis turut memaklumkan bahawa kes berkenaan diklasifikasikan sebagai selesai, namun status tersebut tidak bermaksud suspek telah disabitkan dengan sebarang kesalahan.



