
PUTRAJAYA – Hubungan diplomatik erat serta kerjasama strategik pelbagai pihak menjadi antara faktor kejayaan Malaysia mengekalkan keanggotaan dalam Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027 hingga 2030.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kejayaan itu hasil usaha bersepadu Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).
Beliau berkata, usaha mengekalkan kerusi berkenaan bukan mudah, khususnya ketika proses pemilihan berlangsung di Doha, Qatar.
“Kita lihat di Doha, bukan mudah untuk kita mengekalkan kerusi tersebut. Namun, berkat usaha Wisma Putra, wakil-wakil Malaysia di Geneva dan seluruh dunia serta pasukan Kementerian Komunikasi sendiri, kita berjaya mengekalkannya,” katanya pada Khamis.
Pengekalan keanggotaan itu membolehkan Malaysia terus memainkan peranan dalam perbincangan serta penetapan dasar, strategi dan hala tuju pembangunan sektor telekomunikasi di peringkat antarabangsa.
Malaysia berjaya mengekalkan kerusi dalam Majlis ITU selepas memperoleh 145 undi daripada 177 negara anggota yang mengambil bahagian dalam pemilihan di Doha, Qatar, pada 16 November lalu.

