Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Kekayaan bukan sekadar untuk dikumpul, sebaliknya perlu dinikmati dan dikongsi dengan orang lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Berucap pada majlis perasmian HSBC Wealth Centre di Jalan P. Ramlee di sini hari ini, beliau berkata kemakmuran kewangan perlu diseimbangkan dengan kualiti hidup dan tanggungjawab sosial.
“Apabila Kerajaan MADANI menyatakan kesungguhan untuk meningkatkan ekonomi, kami benar-benar serius kerana mahu memastikan semua orang menikmati kemakmuran,” katanya, seperti dilapor Bernama.
Hannah berkata, keutamaan kerajaan adalah memperkukuh ekonomi Malaysia bagi memastikan kemakmuran dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, manakala Kuala Lumpur memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan bandar berdaya huni.
Antara usaha itu termasuk melindungi kawasan hijau, mewartakan taman, membangunkan 32 kawasan hijau berkonsepkan hutan mikro menjelang 2027 serta membina laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer merangkumi 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur menerusi Belanjawan 2027.
Beliau berkata, Kuala Lumpur turut melaksanakan langkah tebatan banjir dan berusaha ke arah menjadi Bandar Span (Sponge City), dengan kawasan berisiko banjir berkurangan daripada lebih 30 pada 2022 kepada 14 ketika ini, dan disasarkan turun kepada 10 menjelang akhir tahun.
Hannah memaklumkan, kemakmuran juga perlu dikongsi dengan golongan kurang bernasib baik, antaranya melalui perkhidmatan bas sekolah percuma Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kepada anak-anak keluarga berpendapatan rendah di perumahan awam.
Beliau turut menyeru komuniti perniagaan supaya meneroka peluang baharu susulan perubahan gaya hidup, demografi dan keperluan pengguna, khususnya dalam kalangan warga emas yang bukan sahaja memerlukan penjagaan kesihatan, malah teman berbual, interaksi sosial serta program bermakna.
Berkongsi pengalaman ketika menerajui Kementerian Belia dan Sukan, Hannah berkata institusi dan sektor perniagaan perlu bersedia menilai semula pendekatan konvensional.
Beliau menjadikan kejayaan kontinjen negara meraih 231 pingat, jumlah tertinggi pernah diraih Malaysia pada Sukan SEA di luar Kuala Lumpur pada Sukan SEA 2025 di Thailand, sebagai contoh manfaat daripada perubahan strategi kepada sasaran jumlah keseluruhan pingat.
“Untuk mencapai semua itu, kita memerlukan ekonomi yang kukuh, bandar berdaya huni dan masyarakat yang memberikan peluang kepada semua untuk maju,” katanya.
HSBC Wealth Centre itu merupakan pusat pengurusan kekayaan ketiga HSBC di Malaysia dan kedua di Kuala Lumpur, selepas pusat utamanya di Tun Razak Exchange serta sebuah lagi di Johor Bahru.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Datuk Omar Siddiq dan Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Bank Malaysia, Linda Yip.


