
TAWAU – Pelaksanaan aktiviti membaca al-Quran selama 15 minit setiap Jumaat dengan penglibatan guru dan murid di setiap sekolah dicadangkan sebagai usaha menyemai kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan generasi muda.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, usaha itu selari dengan konsep Malaysia MADANI yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memberi perhatian kepada setiap usaha mendidik hati rakyat.
“Penutupnya nanti (Program Khatam Al-Quran) akan dilaksanakan nanti kerana program ini merupakan salah satu pendekatan bagi melahirkan generasi al-Quran.
“Seperti generasi para sahabat Rasulullah SAW yang bukan sahaja mempelajari dan membaca al-Quran, malah mengamalkan segala ajarannya dalam kehidupan sehingga dijanjikan kejayaan di dunia dan akhirat,” katanya.
Nizam yang juga ADUN Apas berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Perdana di Masjid Al-Kauthar, pada Khamis.

Majlis itu disertai lebih 1,000 pelajar dari 61 sekolah rendah seluruh Tawau.
Menurut Nizam, kementeriannya juga sentiasa mendukung dan menyokong apa juga usaha yang memberi manfaat kepada generasi muda di negeri ini.
Justeru, beliau turut menyeru anak-anak muda di Sabah supaya mengamalkan budaya membaca al-Quran agar rahmat al-Quran sentiasa bersama mereka.
“Kita berharap agar tanggungjawab dari semua pihak bukan sahaja daripada pelajar itu sendiri tetapi galakan dan juga kepimpinan daripada pendidik-pendidik warga sekolah termasuklah yang paling penting ibu bapa.
“Peranan ibu bapa sebagai pemimpin dalam keluarga ialah untuk memastikan anak-anak mereka ini dapat dididik dengan nilai-nilai agama khususnya mengerjakan solat lima waktu, berpuasa dan membaca al-Quran.
“Sudah semestinya apabila semua aktiviti-aktiviti kerohanian ini dapat menjadi amalan kepada generasi muda, saya yakin bahawa kita semua akan terpelihara daripada gejala-gejala yang hanya merosakkan akhlak ataupun adab.
“Sudah tentu akan menjadikan generasi muda yang menjadi pemimpin masa akan datang yang mensejahterakan negara dan negeri ini,” tambahnya.



