
KOTA KINABALU – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas pelbagai produk farmaseutikal tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang dianggarkan bernilai RM500,000 di 11 premis di negeri ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Asniza Alias berkata, rampasan itu dibuat menerusi kejayaan operasi penguatkuasaan bersepadu (Ops Padu) ke atas premis yang dikenal pasti sebagai pembekal dan penjual produk berkenaan.
“Operasi ini menyasarkan rangkaian pengedar haram yang membekalkan produk kesihatan tidak berdaftar ke kawasan tumpuan awam, khususnya tamu dan kedai runcit di seluruh Sabah.
“Operasi itu dilaksanakan susulan pemantauan dan risikan terhadap kumpulan sasaran selama hampir enam bulan bagi memutuskan rantaian bekalan produk kesihatan haram daripada peringkat pengedar hingga penjual.
“Hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 27,910 unit produk farmaseutikal disyaki tidak berdaftar, 2,663 unit produk disyaki mengandungi racun berjadual serta 23,101 unit produk kosmetik disyaki tidak bernotifikasi,” katanya dalam sidang media di salah satu premis disyaki gudang penyimpanan barangan terbabit, pada Rabu.

Menurutnya, Ops Padu membabitkan 60 anggota penguat kuasa farmasi dari seluruh negara serta 50 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Bahagian Kesihatan Awam serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Dalam pada itu, Asniza mengingatkan bahawa perbuatan memiliki, menjual atau membekalkan produk farmaseutikal tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi merupakan satu kesalahan serius.
“Orang ramai dinasihat agar menyemak status pendaftaran produk kesihatan melalui imbasan Farmatag menggunakan aplikasi MyUbat atau menerusi laman sesawang NPRA sebelum membuat pembelian,” ujarnya.
Sebarang aduan berkaitan penjualan produk kesihatan yang meragukan boleh disalurkan melalui Portal Aduan SisPAA di http://moh.spab.gov.my atau talian hotline 03-7841 3200.



