
KOTA KINABALU – Seramai 12 lelaki warga China ditahan Jabatan Imigresen Negeri Sabah dalam Ops Serkap selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan ‘online scam’ yang dipercayai menyasarkan mangsa di beberapa negara.
Pengarahnya , Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua mereka berumur 20 hingga 43 tahun itu ditahan di sebuah banglo di Taman Perumahan Damai, pada Selasa.
“Berdasarkan pemeriksaan, kita dapati mereka ini memang menjalankan aktiviti penipuan dalam talian.
“Kita merampas sebanyak 153 unit telefon bimbit jenama Apple pelbagai model, 11 unit komputer, satu unit CPU, satu unit mesin pencetak, 13 unit penghala internet, tujuh unit pengecas, 22 keping kad SIM serta tiga dokumen pasport Republik Rakyat China.
“Imigresen Sabah turut menemukan wang tunai pelbagai mata wang iaitu Kemboja, Vietnam, China, Thailand dan Malaysia,” katanya dalam sidang media, pada Rabu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap sebuah komputer yang belum dikunci masuk turut menemukan rekod transaksi melibatkan beberapa negara termasuk India, China dan Kemboja.
“Kita juga melihat terdapat transaksi yang melibatkan negara India, China dan Kemboja, termasuk satu bayaran sebanyak AS$952 yang telah dibayar ke akaun yang dipercayai milik scammer berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, lapan daripada 12 individu terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, manakala empat lagi didapati melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan penyalahgunaan pas.
“Mereka yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Terdahulu, operasi berkenaan membabitkan seramai 42 pegawai penguat kuasa Imigresen Sabah dari Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu.



