Gambar hiasan
KUANTAN – Polis menunggu laporan prestasi seorang guru sekolah rendah bagi melengkapkan siasatan kes dakwaan serangan seksual terhadap murid lelaki berusia tujuh tahun di Jerantut.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dijangka menyerahkan laporan prestasi guru berusia 24 tahun itu dalam tempoh seminggu.
“Selepas menerima laporan prestasi berkenaan, kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya. Kita menjangkakan ia dapat dikemukakan minggu depan.
“Guru terbabit sudah dipindahkan sementara ke PPD sehingga siasatan selesai,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis negeri, di sini, hari ini.
Guru lelaki itu ditahan pada 30 Oktober lalu selepas bapa mangsa membuat laporan polis mendakwa suspek melakukan serangan seksual terhadap anaknya di sebuah stor di sekolah.
Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada 4 November.
Sementara itu, Azry berkata, polis setakat ini hanya menerima satu laporan berhubung kejadian berkenaan dan tiada petunjuk menunjukkan terdapat mangsa lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


