
SARATOK – Sepasang kekasih ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penemuan tujuh kesan dipercayai akibat tembakan pada pintu besi sebuah kedai kopi di Jalan Repok, Sarikei, pada 13 November lalu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 43 dan 42 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok kira-kira jam 12.35 tengah hari pada Isnin.
Menurutnya, tangkapan dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Melango, di sini, susulan siasatan terhadap kejadian berkenaan.
Beliau berkata, kejadian disedari pemilik kedai kopi berusia 56 tahun selepas terdengar tujuh bunyi hentaman pada pintu besi premisnya sebelum menemukan tujuh kesan yang dipercayai akibat tembakan.
“Bagaimanapun, tiada individu ditemui di luar premis ketika pengadu keluar memeriksa keadaan sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mathew berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang berasal dari Saratok dipercayai pergi ke Sarikei menggunakan bas bagi tujuan menjual besi buruk.
Katanya, pasangan berkenaan kemudian mendaftar masuk ke sebuah hotel di Sarikei pada 13 November menggunakan nama suspek wanita.
“Suspek lelaki mengaku keluar dari hotel untuk makan pada hari kejadian, manakala suspek wanita berada di dalam bilik.
“Suspek lelaki kembali kira-kira jam 2.30 pagi pada 14 November sebelum kedua-duanya mendaftar keluar sekitar jam 3 pagi,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek turut mengakui bahawa individu yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter pendaftaran hotel berkenaan adalah mereka.
Bagaimanapun, beliau berkata, soal siasat awal mendapati kedua-duanya belum membuat sebarang pengakuan berhubung kejadian yang sedang disiasat.
Dalam pada itu, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.
Semakan rekod pula mendapati suspek lelaki mempunyai lapan rekod lampau, manakala wanita terbabit mempunyai satu rekod berkaitan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan kedua-dua suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Sarikei untuk siasatan lanjut.



