
MUKAH – Projek Naik Taraf Perkarangan Rumah Panjang Buan Ipul di Ulu Baoh bernilai RM300,000 diteruskan semula selepas mengalami kelewatan berikutan kegagalan kontraktor asal menyiapkan kerja seperti yang dijadualkan pada tahun lalu.
Susulan proses penamatan lantikan kontraktor terdahulu, tapak projek di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian itu diserahkan secara rasmi kepada kontraktor baharu, Juara Enterprise pada pagi Isnin.
Penyandang DUN Tellian, Royston Valentine berkata, projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah itu akan dilaksanakan berpandukan spesifikasi asal bagi memenuhi keperluan penduduk rumah panjang berkenaan.

Beliau menegaskan pihaknya memandang serius sebarang kelewatan projek pembangunan kerana ia hanya merugikan rakyat yang terpaksa menunggu lebih lama untuk menikmati kemudahan yang dirancang.
“Kehadiran saya pada sesi serah tapak ini adalah untuk memastikan kontraktor baharu benar-benar memahami tanggungjawab yang diberikan serta melaksanakan projek ini dengan baik, berkualiti, dan siap dalam tempoh ditetapkan.
“Peruntukan telah disediakan, maka amanah melaksanakannya mesti ditunaikan dengan penuh tanggungjawab. Saya berharap perkara sama tidak berulang dan akan terus memantau perkembangan projek ini bersama JKR Mukah sehingga siap sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Royston menambah, beliau turut membangkitkan isu kelewatan projek serta mencadangkan tindakan wajar diambil terhadap kontraktor bermasalah dalam persidangan DUN sebelum ini.
Menurut beliau, setiap projek pembangunan untuk rakyat bukan sekadar janji kosong, sebaliknya merupakan satu amanah besar yang wajib disempurnakan demi kesejahteraan penduduk setempat.
Turut hadir pada sesi penyerahan tapak tersebut ialah Jay Keram, Kaunselor Boniface Kwin, Stephenson Changgai, barisan pegawai JKR Mukah, serta wakil pihak kontraktor baharu.



