
KAMPAR – Dalam memastikan suara rakyat didengari, keperluan setempat diberi perhatian dan perkhidmatan kerajaan dapat diakses secara langsung menjadi antara fokus penganjuran Program MADANI Kita (PMK) DUN Tualang Sekah @ Kampar yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Chenderong, Batu Gajah, pada Ahad.
Program anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri itu berperanan sebagai platform sehenti yang menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat, mengakses perkhidmatan serta mengemukakan aduan secara terus.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Mohd Azlan Helmi berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk bukan sahaja menyampaikan maklumat mengenai dasar dan inisiatif, malah turun padang bagi mendengar sendiri pandangan serta memahami keperluan rakyat.
Menurutnya, program bertemakan Memaknai Harapan Rakyat itu memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan penerangan tepat mengenai bantuan dan perkhidmatan kerajaan, mengenal pasti saluran yang betul serta memastikan setiap aduan dan permasalahan disalurkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Pelaksanaan Program MADANI Kita secara lebih bersasar dan berskala kecil sebelum diperluaskan ke seluruh negara membolehkan pelbagai perkhidmatan kerajaan dibawa terus ke tengah-tengah komuniti, sekali gus mengurangkan keperluan rakyat untuk berurusan secara berasingan dengan agensi berkaitan.
“Kerajaan bukan sekadar bercakap tentang rakyat, tetapi turun mendengar suara rakyat. Setiap harapan perlu diberikan perhatian dan, sejauh yang termampu, diterjemahkan kepada tindakan serta penyelesaian,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan PMK @ Tualang Sekah 2026, di sini.

Program berkenaan yang juga merupakan program penutup JKOM Zon Tengah bagi tahun 2026 berjaya menarik kehadiran lebih 3,000 pengunjung setempat.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah JKOM, Suwadi Guliling dan Pengarah JKOM Zon Tengah, Noorisah Hakim.
Sepanjang program berlangsung, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan harian, antaranya Jualan RAHMAH, Jualan Agro MADANI serta perkhidmatan kesihatan dan pergigian.
Penyertaan pelbagai agensi kerajaan turut membolehkan masyarakat mendapatkan khidmat, maklumat dan penerangan secara langsung tanpa perlu hadir ke pejabat agensi berkenaan.
Selain menyediakan kemudahan, program itu turut membuka ruang interaksi dua hala antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat bagi mengenal pasti isu serta permasalahan setempat, sekali gus membolehkan perkara berbangkit disalurkan kepada pihak bertanggungjawab untuk perhatian dan tindakan susulan.

Mohd Azlan berkata, penglibatan aktif masyarakat menerusi penyampaian pandangan, cadangan dan aduan amat penting bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif kerajaan yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan komuniti.
Beliau turut memberi jaminan akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan dan keperluan penduduk di kawasan DUN Tualang Sekah, selain memastikan saluran komunikasi antara rakyat dengan kerajaan sentiasa terbuka.
Tegasnya, keberkesanan sesebuah kerajaan bukan hanya diukur berdasarkan perancangan pembangunan, sebaliknya turut bergantung pada keupayaannya mendekati rakyat, memahami permasalahan mereka serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh.

