Amir Hamzah Azizan
PUTRAJAYA – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dibuat berdasarkan keadaan inflasi yang terkawal serta pertumbuhan ekonomi negara yang kekal kukuh.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keadaan itu membolehkan kadar OPR dikekalkan pada tahap semasa, sekali gus memberi ruang kepada sektor perniagaan untuk terus berkembang dalam persekitaran pembiayaan yang stabil.
“Bank Negara, dengan proses di bawah Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) melihat keadaan inflasi dalam negara terkawal dan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) juga masih kuat.
“Jadi, ia (BNM) mengambil pendekatan untuk terus mengekalkan OPR. Ini memberi ruang untuk perniagaan terus berkembang,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Ahad.

Menerusi mesyuarat keenam dan terakhir MPC bagi tahun ini, BNM memutuskan untuk mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus.
Bagaimanapun, penganalisis pasaran mengunjurkan kadar itu berpotensi dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada suku pertama 2027, didorong pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan serta unjuran inflasi lebih tinggi.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, keadaan ekonomi Malaysia ketika ini berbeza berbanding beberapa negara lain yang berdepan tekanan inflasi tinggi, ekonomi terlalu panas dan gangguan rantaian bekalan.
Katanya, situasi sedemikian boleh mendorong bank pusat menggunakan kadar faedah sebagai instrumen untuk mengawal tekanan ekonomi.
“Kita tidak ada masalah seperti apa yang kita nampak di negara-negara lain, yang mana tekanan inflasinya tinggi, ada isu yang datang daripada ekonomi terlalu panas, isu rantaian bekalan yang menyebabkan mereka terpaksa menggunakan kadar faedah untuk mengawal.
“Di Malaysia ini, saya rasa kerana pendekatan yang diambil kerajaan itu menyeluruh, kita dapat keadaan yang lebih baik di sini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan berkaitan kadar OPR kekal di bawah bidang kuasa BNM menerusi MPC, berdasarkan penilaian terhadap perkembangan ekonomi dan inflasi semasa.



