
PUTRAJAYA – Pahang bersetuju menaikkan bantuan Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Siswa daripada RM400 kepada RM500 mulai tahun depan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenaikan itu diluluskan susulan permohonan dikemukakan mahasiswa secara langsung dalam sesi townhall sempena Konvensyen Bakti Negeri Siswa Pahang Apresiasi Pahang 1st 2026.
“Kenaikan ini akan dimasukkan dalam Belanjawan Negeri Pahang 2027 sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban kewangan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian,” katanya, lapor Pahang Media.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan konvensyen berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, semalam.
“Ada yang Tok Wan luluskan serta-merta. Sebelum ini kerajaan negeri memberi bantuan ini secara sekali bayar RM400, tetapi tahun depan mereka minta dinaikkan kepada RM500.
“Tadi Tok Wan telah umumkan perkara itu akan dimasukkan dalam belanjawan tahun depan,” katanya.
Program anjuran Majlis Mahasiswa Anak Pahang itu menghimpunkan kira-kira 1,500 mahasiswa anak Pahang yang sedang menuntut di institusi pendidikan tinggi awam seluruh negara.
Wan Rosdy berkata, keputusan itu membuktikan kerajaan negeri sentiasa terbuka mendengar pandangan dan cadangan mahasiswa, khususnya dalam usaha memperkukuh kebajikan serta pembangunan modal insan Anak Pahang.
Selain bantuan kewangan, beliau berkata kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai inisiatif pendidikan menerusi Yayasan Pahang bagi membuka lebih banyak peluang kepada Anak Pahang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Peluang pembangunan kemahiran dan kebolehpasaran graduan turut terus diperkasakan menerusi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, termasuk melalui Pahang Skills, Pahang Talent Development dan Akademi Rel Pahang.


