TAWAU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menyelamatkan aset bernilai RM528.9 juta dalam insiden kebakaran bagi tempoh Januari hingga semalam.
Pengarahnya, Mohd Pisar Aziz berkata, dalam tempoh sama, sebanyak RM174.3 juta kerugian harta benda termasuk bangunan dan kenderaan direkodkan akibat musnah terbakar.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menyelamatkan aset tertinggi iaitu RM119.8 juta diikuti BBP Penampang (RM92.3 juta) dan BBP Lintas (RM66.5 juta).
“Manakala kerugian aset terendah adalah BBP Kunak, Kuala Penyu, Nabawan, BBP Air Semporna, Tambunan dan Tenom dengan keseluruhan tidak mencapai RM1 juta,” katanya berucap pada program sehari bersama Skuad Bomba, SURI dan Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti Kampung (Kg) Inderasabah, di Tawau, pada Sabtu.

Menurut Pisar, sepanjang tempoh sama, pihak bomba menerima sebanyak 8366 panggilan iaitu 3130 panggilan kebakaran, 4817 panggilan penyelamatan dan 405 panggilan tugas-tugas khas.
“Bagi operasi kebakaran, 126 individu berjaya diselamatkan, 53 cedera dan 20 orang disahkan meninggal dunia manakala bagi operasi penyelamatan, 455 orang selamat, 503 cedera serta 143 meninggal dunia.
“JBPM Sabah juga menerima 13 panggilan palsu,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, Pisar menjelaskan bahawa pihaknya sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang ancaman bencana termasuk gempa bumi dan tsunami.
Katanya, pasukannya memberi tumpuan kepada pemantauan kawasan berisiko, khususnya lokasi yang pernah mengalami kejadian gegaran sebelum ini seperti Ranau, Keningau dan Sandakan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan pasukan sentiasa berada pada tahap optimum.
“Mereka turut didedahkan dengan pelbagai latihan dan aktiviti penyelamatan berskala besar bagi meningkatkan keupayaan menghadapi sebarang kemungkinan insiden.
“Usaha itu turut melibatkan pendedahan kepada komuniti mengenai tindakan awal yang perlu diambil sekiranya menerima amaran daripada pihak berkuasa, selain meningkatkan kesedaran terhadap langkah keselamatan ketika berdepan situasi kecemasan,” jelasnya.


