
PUTRAJAYA – Kerajaan sedang mengatur proses menyahklasifikasikan dokumen Lembaga Pengampunan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tertakluk kepada prosedur dan keperluan perundangan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, proses itu perlu mengambil kira beberapa aspek perundangan, selain mendapatkan nasihat Peguam Negara.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara berkenaan bagaimanapun tidak dibangkitkan secara khusus dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.
“Tidak dibangkitkan secara langsung, tetapi saya difahamkan proses itu sedang diatur dengan mengambil kira beberapa aspek perundangan yang perlu dipatuhi.
“Jemaah Menteri juga dinasihatkan oleh Peguam Negara dalam hal ini. Namun, hasrat itu memang ada dan akan melalui proses yang diwajibkan,” katanya pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini.
Bagaimanapun, Fahmi tidak menyatakan tempoh masa yang diperlukan untuk melengkapkan proses penyahklasifikasian dokumen berkenaan.

