
KUCHING – Sarawak mempelawa Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjalin kerjasama strategik bagi meneroka dan membangunkan sumber gas asli negeri ini, termasuk memperluas pengeluaran produk hiliran bernilai tinggi.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sumber gas asli yang dimiliki Sarawak menawarkan peluang kepada kedua-dua pihak untuk membangunkan industri berasaskan gas.
“Sumber berkenaan bukan sahaja berperanan sebagai bekalan tenaga, malah boleh diproses menjadi pelbagai produk industri yang mempunyai permintaan di pasaran antarabangsa.
“Sarawak masih mempunyai sumber gas asli yang banyak untuk diteroka dan kerjasama dengan UAE berpotensi membantu mengembangkan kegiatan pengeluarannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Terbaik Sarawak (EOYS) 2026 pada Jumaat.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Sarawak telah memulakan pembangunan industri berasaskan gas asli menerusi pengeluaran metanol.
“Perancangan seterusnya turut memberikan tumpuan kepada pembangunan metanol hijau dan ammonia hijau sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan produk industri tenaga negeri”, ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa kedua-dua produk berkenaan mempunyai potensi untuk memenuhi keperluan sektor perkapalan antarabangsa yang sedang mencari bahan api alternatif bagi menyokong peralihan kepada tenaga lebih bersih.
Sehubungan itu, beliau berpandangan pembangunan industri hiliran gas asli mampu membuka peluang kepada Sarawak untuk meningkatkan nilai ekonomi sumber tempatan melalui aktiviti pemprosesan.
Usaha tersebut juga berpotensi memperluas penyertaan Sarawak dalam pasaran tenaga global, selain mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan gas asli sebagai sumber tenaga semata-mata.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)



