Gambar hiasan
NUSA DUA – Harga minyak sawit Malaysia dijangka berada dalam lingkungan RM4,500 hingga RM5,000 satu tan metrik sehingga April 2027.
Penganalisis terkemuka, Dorab Mistry berkata, jangkaan itu didorong kitaran pengeluaran buah kelapa sawit yang dijangka memasuki fasa hasil rendah pada Februari susulan kemarau akibat fenomena El Niño tahun ini.
Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) penanda aras didagangkan pada RM4,447 (AS$1,091.02) setakat rehat tengah hari tadi, selepas merosot sejak akhir Oktober berikutan peningkatan stok di Malaysia.
Menurut Mistry, pedagang sebelum ini ‘terlalu awal bersikap optimistik‘ mengenai kesan El Niño, manakala kenaikan harga sebelum ini berlaku terlalu awal.
“Harga penanda aras meningkat sehingga 24 peratus tahun ini kepada paras tertinggi RM5,018 satu tan pada akhir Ogos, sebelum merosot dan kini naik kira-kira sembilan peratus,” katanya kepada Reuters.
Pengarah Godrej International itu berkata pengeluaran ketika ini masih dalam fasa hasil tinggi walaupun berdepan El Niño, dan dijangka berterusan sehingga Januari.
Bagaimanapun, kitaran pengeluaran dijangka beralih terus ke fasa hasil rendah pada Februari sehingga November, sekali gus menyokong harga pada suku kedua dan ketiga tahun depan.
Mistry menjangkakan keseluruhan pengeluaran minyak sawit merosot sebanyak 2.7 juta tan metrik pada 2027, dengan kesan lebih besar kepada Indonesia berikutan kemarau lebih teruk.
Bagaimanapun, pokok kelapa sawit di Indonesia yang lebih muda mungkin tidak mengalami kesan terlalu besar.
Secara keseluruhan, pengeluaran minyak sayuran bagi musim 2026/2027 dijangka meningkat empat juta tan, manakala permintaan dijangka bertambah enam juta tan.

