
KANGAR – Lebih enam dekad menabur bakti dalam dunia penulisan akhirnya membawa pengiktirafan tertinggi negeri buat bekas Pengarang Sastera dan Budaya Berita Harian (BH), A. Rahim Abdullah apabila dinobatkan sebagai penerima sulung Anugerah Sasterawan Negeri Perlis 2026.
Tokoh sastera berusia 78 tahun yang berasal dari Kampung Bohor Inai, Kangar itu menerima wang tunai RM15,000 berserta watikah pengiktirafan pada Majlis Anugerah Sastera Negeri Perlis 2026 di Elissa Hotel & Suites di sini, semalam.
Pengiktirafan tersebut disampaikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Hazami Jahari.
A. Rahim atau nama sebenarnya Abd Rahim Abdullah mula menghasilkan karya sastera pada 1964 dan pernah berkhidmat sebagai Pengarang Sastera dan Budaya BH antara Februari 1994 hingga April 1998.
Sepanjang pembabitannya dalam bidang persuratan, beliau menghasilkan pelbagai karya termasuk kumpulan puisi Catatan Orang Berdua (1980) dan kumpulan cerpen Potret di Atas Piano (1983), selain meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan serta serantau.
Antara pencapaian penting beliau ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera MASTERA menerusi karya biografi Sasterawan Negara Keris Mas: Melepasi Gerhana.
Ketua Panel Penilai, Dr. Mohd Hanafi Ibrahim berkata, pemilihan A. Rahim dibuat berdasarkan ketekalan beliau menghasilkan karya bermutu tinggi serta sumbangan besar terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu.
“Beliau mula berkarya sejak 1960-an dan berterusan menabur bakti sehingga tahun 2000-an sebelum keuzuran,” katanya.

Sementara itu, Mokhtar Abd. Karim menerima Anugerah Sasterawan Sepanjang Hayat 2026, manakala Ku Seman Ku Hussain dipilih sebagai penerima Anugerah Persuratan Negeri Perlis 2026.
Anugerah Citra Negeri Perlis 2026 pula diberikan kepada Dr. Hazman Hassan, sementara Intan Juliana Johari menerima pengiktirafan Penulis Harapan Negeri Perlis 2026.
Majlis anjuran Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama DBP dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis itu turut mengiktiraf karya sastera terbaik dalam beberapa kategori termasuk novel, kumpulan cerpen, puisi dan kritikan sastera.
Penganjuran sulung anugerah berkenaan menjadi usaha kerajaan negeri menghargai sumbangan tokoh persuratan, di samping menggalakkan kemunculan generasi penulis baharu bagi memastikan warisan kesusasteraan Melayu terus berkembang.


