
DARO – Generasi muda diseru agar tidak sekadar membaca dan mengkhatamkan al-Quran, sebaliknya memahami, menghayati serta mengamalkan ajarannya sebagai panduan utama dalam membentuk sahsiah dan keperibadian mulia.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, penghayatan terhadap kitab suci itu amat penting sebagai benteng akhlak dalam mendepani cabaran kehidupan masa kini.
“Jadikan al-Quran sebagai panduan hidup, bukan sekadar bacaan di bibir, tetapi pedoman dalam setiap langkah kehidupan,” katanya ketika menyempurnakan majlis penangguhan Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pangtray, pada Jumaat.
Pada majlis berkenaan, seramai 16 murid Tahun Enam sekolah terbabit berjaya menyempurnakan bacaan al-Quran masing-masing.

Dalam pada itu, Ahmad Johnie merakamkan ucapan tahniah kepada semua murid yang terlibat atas kesungguhan serta komitmen tinggi mereka dalam menamatkan bacaan al-Quran di peringkat sekolah rendah.
Beliau turut menghargai kerjasama padu pihak pengurusan sekolah, barisan pendidik serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Pangtray dalam menjayakan program kerohanian dan memperkukuh pendidikan anak-anak tempatan.



