
TELOK MAS – Kesediaan Pas membantu ‘menyelamatkan’ Datuk Seri Najib Razak dengan mengusahakan pembayaran RM50 juta bagi memenuhi syarat pengampunan mencerminkan tindakan parti itu menggadaikan prinsip perjuangan demi kuasa.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, pendirian berkenaan menggambarkan politik Machiavelli yang menghalalkan pelbagai cara untuk mencapai matlamat.
Beliau mempersoalkan tindakan pihak yang menganggap usaha membantu Najib membayar wang berkenaan sebagai satu amalan berpahala, sedangkan tanggungjawab itu sepatutnya dipikul sendiri oleh bekas Perdana Menteri berkenaan.
“Dia buat ijtihad sendiri. Dia kata kalau kita berusaha membantu Najib memenuhi syarat pengampunan, maka usaha itu mendapat pahala.
“Sedangkan Najib sendiri yang perlu membayar wang itu. Kenapa perlu bersusah payah membantu seseorang yang melakukan kesalahan untuk menunaikan tanggungjawabnya sendiri? Kemudian, usaha membantu itu pula dikatakan mendapat pahala.
“Ini satu perkara yang tidak masuk akal dan menggambarkan Pas sudah hilang hala tuju serta perlu kembali ke pangkal jalan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP).
Khalid berkata, beliau yakin pemimpin terdahulu Pas seperti Allahyarham Tan Sri Yusof Rawa, Allahyarham Datuk Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Allahyarham Tan Sri Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan menerima pendekatan mengorbankan prinsip demi mendapatkan kuasa.
“Saya dalam Pas dulu zaman almarhum Tuan Guru Yusuf Rawa, zaman arwah almarhum Ustaz Fadzil Noor, almarhum Tok Guru Nik Aziz. Saya yakin mereka tak akan terima apa yang sedang dilakukan oleh adik-adik yang mengorbankan semuanya demi nak dapatkan kuasa.
“Inilah yang dikatakan Machiavelli, politik Machiavelli. Semua adalah untuk nak dapatkan kuasa. Semua halal. Matlamat menghalalkan cara. Inilah Machiavelli,” katanya.
Kenyataan itu merujuk pandangan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang menyifatkan usaha membantu Najib membayar RM50 juta bagi memenuhi syarat pengampunan sebagai tindakan bertepatan dengan syarak dan boleh mendapat pahala.
Mengulas perjuangan membangunkan bangsa, Khalid berkata UMNO juga sudah berubah daripada parti yang suatu ketika dahulu berjuang mendapatkan kemerdekaan dan membangunkan negara kepada pendekatan yang menurutnya boleh merosakkan masyarakat.
Katanya, perjuangan membangunkan masyarakat Melayu perlu berpandukan tuntutan al-Quran supaya umat Islam menegakkan perkara makruf, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.
Beliau berkata, prinsip itu juga perlu diterjemahkan melalui pentadbiran yang bersih serta penolakan terhadap rasuah, penyelewengan dan kezaliman.


