
KUANTAN – Islam tidak pernah menghalang kreativiti dan perkembangan seni, namun kebebasan berkarya bukan lesen untuk menormalisasikan perlakuan yang menyerupai ritual pemujaan dan pengabdian kepada elemen lain, selain Allah SWT.
Perkara itu ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah susulan kontroversi persembahan konsert baru-baru ini yang memaparkan manusia mengelilingi patung gergasi sambil melakukan pergerakan menyerupai ritual penyembahan, yang sewajarnya diberikan perhatian serius.
“Akidah tauhid adalah asas kehidupan seorang muslim. Justeru, sebarang unsur yang boleh mengelirukan kefahaman masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai batas antara hiburan dengan pemujaan tidak boleh dipandang ringan.
“Teguran dan nasihat ini tidak bermaksud menghukum mana-mana individu sebagai musyrik tanpa penelitian terhadap niat dan hakikat perbuatan.
“Sebaliknya, ketegasan perlu ditunjukkan dalam menolak sebarang unsur pemujaan selain Allah SWT, kerana syahadah boleh terbatal melalui tiga perkara iaitu perbuatan, lisan atau perkataan, dan iktiqad atau hati,” katanya kepada The Malaysia Press.
Beliau menegaskan, hiburan mempunyai batasan tertentu, begitu juga dengan daya kreativiti yang mempunyai sempadan.
“Akidah tidak boleh dikompromikan. Perkara ini jelas seperti Firman Allah SWT:
‘Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar,'(Surah Luqman: 13)
“Justeru, kemurnian akidah umat Islam perlu dipertahankan dengan ilmu, hikmah dan ketegasan, tanpa menggunakan alasan kesenian untuk menggadaikan akidah generasi muda muslim,” jelasnya.
Sebelum ini, kontroversi konsert itu turut mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
JAKIM dilaporkan sedang menyiasat dakwaan persembahan konsert The Weeknd di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu yang dikatakan mengandungi unsur bercanggah akidah Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, Bahagian Penyelidikan JAKIM sedang berhubung dengan urus setia Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara bagi mengesahkan dakwaan itu.
Beliau menegaskan, Islam melarang sebarang bentuk pemujaan selain Allah dan semua pihak perlu memastikan persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah serta akhlak.



