
PETALING JAYA – Keputusan Mahkamah Tinggi menggantikan perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu berhubung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuktikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mempunyai alasan untuk meminta dokumen berkenaan diteliti.
Peguam, Hafiz Hassan berkata, perintah terdahulu mempunyai beberapa kesilapan ketara seperti yang dibangkitkan oleh beberapa pengamal undang-undang.
Beliau berkata, perintah baharu yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi menjelaskan bahawa pembayaran denda RM50 juta tidak bermaksud Najib dibebaskan daripada hukuman penjara, sebaliknya membolehkannya menjalani baki hukuman bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah.
“Justeru, dengan segala hormatnya, tindakan mempertahankan perintah terdahulu itu tidak dapat dipertahankan,” katanya, seperti dilaporkan Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

Najib dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Bagaimanapun, pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib kepada enam tahun serta denda kepada RM50 juta.
Pada September tahun ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberikan pengampunan bersyarat tambahan kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan syarat lain yang ditetapkan.
Jumaat lalu, UMNO melunaskan denda berkenaan sebelum Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah pelepasan selepas pembayaran dibuat.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon pelaksanaan perintah itu ditangguhkan berikutan persoalan mengenai kandungan dokumen serta kesannya terhadap baki hukuman penjara Najib.

Semalam, Hakim Aslam Zainuddin mengetepikan perintah pelepasan terdahulu dan menggantikannya dengan perintah baharu selepas mendengar permohonan AGC.
AGC sebelum itu mengenal pasti beberapa kesilapan dalam dokumen berkenaan, termasuk keterangan mahkamah, tarikh sabitan, jenis kesalahan, jumlah denda, tarikh pemenjaraan dan waran penjara.
Jabatan itu turut memohon penjelasan bahawa pembayaran denda hanya melepaskan Najib daripada kewajipan membayar denda, bukannya menghapuskan hukuman penjara yang masih perlu dijalani.
Hafiz turut menyifatkan tuduhan bahawa Mohd Dusuki ingkar titah Yang di-Pertuan Agong serta tindakan membuat laporan polis terhadap Peguam Negara sebagai tidak wajar dan tersasar daripada isu sebenar.
Pada 6 November lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa usaha menangguhkan pelaksanaan titah diraja itu sebagai satu bentuk keingkaran dan pencabulan hak yang dijamin Perlembagaan.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kemudian menggesa Mohd Dusuki bercuti serta-merta sementara menunggu siasatan polis terhadap laporan yang dibuat terhadapnya, termasuk oleh Pemuda UMNO.

Sultan Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa pengampunan bersyarat terhadap Najib adalah jelas dan perlu dilaksanakan, manakala AGC menjelaskan pihaknya hanya meminta penjelasan mengenai kesan perundangan perintah pelepasan berkenaan, bukannya mempertikaikan pengampunan diraja.
Sementara itu, penganalisis politik Global Asia Consulting, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, pemimpin UMNO yang mempertahankan Najib perlu bersedia mengakui kelemahan atau kecacatan perundangan dalam sesuatu perintah mahkamah, bukannya menentukan kesahihannya berdasarkan sentimen politik.
Beliau berkata, Asyraf Wajdi dan Khairy berhak mempertahankan bekas Perdana Menteri itu, namun kesetiaan politik tidak seharusnya mengatasi penghormatan terhadap proses undang-undang.
“Perbezaan antara mempersoalkan sesuatu keputusan dengan menuduh seseorang ingkar kepada Yang di-Pertuan Agong adalah sangat besar.
“Perkara pertama merupakan hak dalam sebuah negara demokrasi, manakala perkara kedua memerlukan asas yang jauh lebih kukuh daripada sekadar kemarahan politik,” katanya.
Menurut Ahmad Zaharuddin, pemimpin UMNO yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap Peguam Negara perlu mempunyai keberanian untuk mengakui dan membetulkan kesilapan mereka apabila fakta baharu muncul.
“Jika seseorang pemimpin membuat tuduhan tidak berasas, mereka perlu mempunyai keberanian untuk mengakui kesilapan dan membetulkannya.
“Mereka tidak sepatutnya terlalu cepat membuat tuduhan secara terbuka, tetapi kemudian berdiam diri apabila fakta baharu membuktikan tuduhan itu salah,” katanya.

