
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi hadis Rasulullah SAW yang menegaskan prinsip keadilan perlu dilaksanakan tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang seseorang.
Menerusi perkongsian di media sosial malam ini, Anwar memetik hadis diriwayatkan Aisyah RA yang menjelaskan bahawa antara punca kehancuran umat terdahulu ialah sikap pilih kasih dalam pelaksanaan hukuman terhadap pesalah.
Hadis berkenaan turut menyebut ketegasan Rasulullah SAW bahawa hukuman tetap dilaksanakan meskipun kesalahan dilakukan oleh ahli keluarga Baginda sendiri.
“Sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kamu ialah apabila orang yang berkedudukan tinggi dalam kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila orang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, mereka melaksanakan hukuman hudud ke atasnya.
“Demi Allah! Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya,” menurut hadis Riwayat al-Bukhari (3475).
Hadis itu membawa peringatan bahawa keadilan tidak seharusnya dipengaruhi kedudukan atau pengaruh seseorang, sebaliknya perlu ditegakkan secara adil dan saksama tanpa sebarang pengecualian.

