
BINTULU – Sarawak tidak akan berganjak daripada pendiriannya mempertahankan hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk melalui proses perundangan bagi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, perjuangan menuntut hak Sarawak akan terus berlandaskan fakta dan peruntukan undang-undang yang sah.
Menurutnya, pendirian itu tidak akan berubah sepanjang beliau menerajui pentadbiran Sarawak kerana hak negeri di bawah MA63 merupakan antara keutamaan yang perlu terus dipertahankan.
“Selagi saya memimpin Sarawak, saya tidak akan berundur dalam memperjuangkan hak kita di bawah MA63,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Kemena di Sebauh, pada Isnin.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Sarawak juga perlu terus memperkukuh kedudukan kewangannya bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berterusan.
Menurutnya, peningkatan sumber pendapatan membolehkan kerajaan negeri membiayai lebih banyak projek infrastruktur dan kemudahan asas, termasuk pembinaan jalan raya, jambatan serta penyediaan bekalan air dan tenaga.
Beliau menekankan bahawa kejayaan pembangunan tidak seharusnya dinilai berdasarkan perancangan semata-mata, sebaliknya melalui hasil yang dapat dinikmati rakyat.
“Kita membangun secara diam-diam tanpa perlu banyak retorik. Apa yang penting ialah hasil pembangunan yang dapat dilihat dan dinikmati rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri turut memberikan perhatian kepada usaha meningkatkan jaringan perhubungan luar bandar, khususnya laluan yang menjadi keperluan harian masyarakat rumah panjang.
Abang Johari berkata, lebih 5,000 kilometer jalan bekas pembalakan telah dikenal pasti bagi tujuan pengambilalihan dan penambahbaikan jaringan perhubungan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan negeri memperluas kemudahan infrastruktur dan meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar.
Sementara itu, Jambatan Batang Kemena sepanjang 728.56 meter yang dirasmikan beliau dibina dengan kos kira-kira RM123 juta.
Jambatan dua lorong tersebut menyediakan laluan alternatif lebih singkat di antara Lapangan Terbang Bintulu dengan Pekan Sebauh.
Kemudahan itu telah dibuka kepada pengguna pada 6 Disember 2025 dan memberikan manfaat kepada kira-kira 32,000 penduduk di kawasan berkenaan.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)



