BUKIT RAMBAI – Golongan berpendapatan rendah dan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap perlu diberi perhatian lebih serius oleh wakil rakyat di Klebang menerusi pelaksanaan projek ekonomi yang mampu menjana pendapatan berterusan kepada penduduk.
Penduduk Bukit Rambai, Datuk Jaafar Bisman, 70, berkata, isu ekonomi terutama membabitkan B40 masih menjadi antara masalah paling ketara kerana terdapat penduduk yang bergantung kepada pekerjaan harian untuk meneruskan kehidupan.
Menurut beliau, golongan berkenaan berdepan ketidaktentuan pendapatan apabila hanya ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ sehingga menjejaskan keperluan harian yang diperlukan.
“Yang lebih ketara ialah isu kategori B40. Itu yang paling menjadi masalah, terutama golongan yang pendapatannya paling rendah dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Umpamanya, cari hari ini dapat hari ini. Tak cari, tak ada. Perkara itu yang kita kena lihat. Kita perlu mengatasi isu yang paling hardcore, iaitu golongan berpendapatan yang paling rendah,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Sehubungan itu, Jaafar mencadangkan calon yang memenangi DUN Klebang pada 14 November depan mempertimbangkan pelaksanaan projek ekonomi berasaskan penternakan huluan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Katanya, projek berkenaan boleh dikendalikan kerajaan dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat kampung, khususnya mereka yang memerlukan sumber pendapatan tambahan.

“Pengambilan pekerja secara separuh hari juga boleh dipertimbangkan bagi membolehkan lebih ramai penduduk menikmati peluang pekerjaan walaupun projek berkenaan tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai pada satu-satu masa.
“Kalau kerja itu tidak memerlukan ramai pekerja, mungkin kita boleh buat secara separuh hari. Seorang bekerja sebelah pagi, kemudian petang masuk pula seorang lagi. Kalau kita perlukan 10 orang, apabila dibahagikan kepada dua syif, 20 orang boleh mendapat peluang bekerja.
“Hasil daripada projek berkenaan juga boleh dikongsi antara kerajaan dengan penduduk bagi mewujudkan sumber pendapatan baharu, selain membantu meningkatkan hasil negara tanpa terlalu bergantung kepada kenaikan cukai,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut membangkitkan isu pengurusan alam sekitar terutama amalan kontraktor pembersihan yang didakwa meniup sisa rumput ke dalam longkang selepas kerja pemotongan rumput dilakukan.
Beliau menegaskan, amalan itu bukan sahaja mencemarkan persekitaran, malah berpotensi menyebabkan masalah saliran sekiranya sisa berkenaan terus dihanyutkan ke sungai,
“Saya hairan juga, skarang dia pakai dia punya pressure angin untuk bersihkan rumput, kumpul satu tempat, diterjun ke dalam longkang. Itu salah satu punca pencemaran alam sekitar.
“Sepatutnya rumput itu ditiup, kumpul dan dimasuk dalam tempat yang kemas, letak satu tempat kat mana-mana, mungkin boleh proses jadi baja, jadi ke apa kan. Ini buang terjun ke sungai.
“Inilah perkara yang seharusnya PBT kena tegas, tauke-tauke, JPKK, pemimpin setempar, ketua-ketua parti politik kena buka mata dalam mengambil serius dalam menyelesaikan isu alam sekitar yang dibuat secara terang-terangan,” katanya.
