
KUALA LUMPUR – Usaha membina sebuah negara yang hebat harus bermula dengan pembentukan institusi keluarga yang bahagia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bangunan pencakar langit, kemajuan teknologi atau limpahan pelaburan tidak bermakna jika tiada pembentukan insan yang beradab, berakhlak dan memiliki nilai kemanusiaan yang luhur.
“Keluarga merupakan asas pembentukan masyarakat dan tunjang kekuatan negara, justeru gagasan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, perlu dijadikan pedoman dalam mendidik generasi muda supaya mampu menguasai teknologi dan ilmu baharu tanpa mengabaikan nilai, adab, kasih sayang serta sahsiah mulia
“Saya yakin bahawa usaha membina negara yang hebat harus bermula dengan membina keluarga yang bahagia, kerana daripada institusi keluargalah lahirnya generasi yang bakal menentukan wajah dan masa depan negara,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Terdahulu, Anwar merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di Shah Alam, Selangor hari ini yang turut dihadiri isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan Madani akan terus memperkukuh dasar dan inisiatif yang mengutamakan kesejahteraan keluarga termasuk kebajikan ibu dan anak, kemudahan penjagaan, sokongan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) serta pengiktirafan terhadap peranan penjaga.

