
BUKAN hanya di Malaysia, satu dunia sekarang berdepan dengan serangan-serangan siber, serangan yang menjurus terus ke ekosistem digital pelbagai entiti.
Ketika ini yang paling mandatori ialah jangan cemas, jangan sebarkan berita palsu. Itu semua tidak membantu. Vital point untuk awam ialah, kecuaian. Inilah pintu masuk terbesar kepada serangan siber ke atas individu.
Berhati-hati bukan bererti paranoid tidak menentu.
Era moden ini, perang digital bukan lah sesuatu yang asing, namun kesannya hingga boleh meruntuhkan seluruh jaringan keselamatan negara hingga manipulasi sistem kewangan.
Ancaman siber boleh datang dari mana-mana. Bahkan sesuatu yang kita tidak jangka.
Sama ada melalui SMS, WhatsApp, e-mel, panggilan telefon, fake websites, malah aplikasi palsu yang nampak meyakinkan terutamanya aplikasi ‘.apk’.
Amalkan perkara ini, jika anda gagal, anda menempah kesusahan kepada diri sendiri.
- Jangan pernah kongsikan OTP, PIN atau kata laluan kepada akses kritikal terutamanya sistem perbankan anda.
- Pastikan aplikasi dan sistem keselamatan telefon sentiasa dikemas kini. Jangan install mana-mana aplikasi ‘.apk’.
- Semak transaksi bank dari semasa ke semasa. Kehilangan duit dalam akaun tidak terus bermula dengan jumlah puluhan ribu, masih ingat kisah One Cent Thief? Ambil iktibar!
Namun demikian, ada satu perkara yang saya rasa kita semua perlu faham dan berikan penghargaan kepada mereka, iaitu pasukan IT di balik layar.
Tidak kisahlah siapa pun mereka, di tempat anda bekerja, golongan IT ialah sebahagian daripada sistem pertahanan negara, samaada mereka sedar atau tidak.
Ada yang kita nampak, ramai juga yang kita tak pernah tahu pun kewujudan mereka. Tapi mereka bekerja.
Merekalah antara individu yang sedang bertungkus-lumus mempertahankan sistem, data dan keselamatan digital negara.
Mungkin mereka tak pakai uniform. Bukan seperti dalam filem-filem yang sering kita tonton. Mereka tidak mengacukan senjata di sempadan negara.
Tetapi dalam dunia hari ini, ruang siber juga medan pertahanan negara. Dan kalau kita nak bantu mereka, caranya mudah iaitu:
Jangan sebarkan fake news.
Kalau bukan pakar, jangan terus buat kesimpulan. Kalau tak pasti, verify dulu dengan pihak yang berkelayakan sebelum post sesuatu yang akhirnya bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah menakutkan ibu bapa kita sendiri.
Kita semua ada peranan.
Cybersecurity is everyone’s responsibility.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)


