
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran 19 pegawai kanan di Bukit Aman dan kontinjen, berkuat kuasa 7 Disember ini.
Menurut laporan Bernama, antara pertukaran itu membabitkan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohammad Shaharul Md Osman yang sebelum ini Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman.
Turut dinaikkan pangkat Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Victor Sanjos (sebelum ini Komander ESSCOM), dengan memangku pangkat Komisioner Polis; Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak (sebelum ini Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak) dengan memangku pangkat Komisioner.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Yusri Othman (Ketua JSJ Pahang); Komander ESSCOM, Datuk Abdul Fuad Abdul Malek (sebelum ini Ketua JKDNKA Sabah).
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Zailanni Amit (Ketua JSJ Pulau Pinang).
Turut bertukar Rahimi Ra’ais sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman, Zailani Mohd Yusoff sebagai Ketua JSJ Pulau Pinang, dan Suhana Adenan sebagai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman.
Selain itu, Mohd Zamzuri Mohd Isa dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Kepolisan Am) Bukit Aman, Yusri Mahmud sebagai Komander 69 Komando, dan Awang Arfian Awang Bujang sebagai Komander Briged Tengah PGA.
Mohd Irwan Rasul kekal sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas Yang di-Pertuan Agong, manakala Dasuki Che Driss dilantik sebagai Ketua JKDNKA Sabah.
Mustafa Kamal Gani Abdullah pula dilantik sebagai Ketua JPJKK Sarawak, Suffian Abdullah sebagai Ketua JSPT Kuala Lumpur, Azrol Anuar Nor sebagai Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Yampil Anak Garai sebagai Ketua Polis Daerah Lahad Datu dan Mohammad Shofee Tayib sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Kedah.
Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Mohammad Mashdik Yahya berkata, sebahagian pegawai perlu melapor diri mengikut tarikh ditetapkan antara 11 November hingga 18 Disember.



