
KUALA LUMPUR – Tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapatkan penjelasan mahkamah berhubung pelaksanaan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan bertujuan mempertikaikan titah pengampunan bersyarat Yang di-Pertuan Agong.
Sebaliknya, bagi memastikan kedua-dua hukuman dalam kes SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaksanakan mengikut undang-undang.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, isu berkenaan perlu difahami berdasarkan dua kes berasingan yang mempunyai implikasi terhadap tempoh pelaksanaan hukuman penjara Najib.
Menurutnya, bagi kes SRC International, Najib mendapat pengampunan bersyarat yang membolehkan baki hukuman penjara dijalani menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 selepas menjelaskan denda RM50 juta.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu turut mengeluarkan perintah pelepasan selepas pembayaran denda itu, namun pada masa sama menyatakan baki hukuman SRC International perlu diteruskan melalui tahanan di rumah.
“Di sinilah timbul persoalan. Adakah perkataan ‘dilepaskan’ bermaksud hukuman SRC sudah tamat, atau Najib cuma dilepaskan daripada penjara untuk menjalani tahanan di rumah?” katanya menerusi kenyataan di media sosial pada Sabtu.

Tambahnya, persoalan itu penting kerana Najib turut berdepan hukuman penjara dalam kes 1MDB yang ditetapkan bermula selepas hukuman dalam kes SRC International selesai dijalani.
Katanya, Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu juga telah menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB.
Justeru, beliau menjelaskan, sekiranya hukuman SRC International dianggap sudah selesai dari segi undang-undang, timbul persoalan sama ada Najib perlu mula menjalani hukuman penjara bagi kes 1MDB.
Sebaliknya, jika hukuman SRC masih berkuat kuasa menerusi tahanan di rumah sehingga 2028, tarikh permulaan hukuman 1MDB mungkin berbeza.

“Jadi apa AGC buat? AGC mahu mahkamah menjelaskan maksud dan kesan perintah pelepasan itu supaya tidak berlaku kesilapan dalam pelaksanaan kedua-dua hukuman,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, beliau menyeru masyarakat supaya tidak mengelirukan isu pengampunan bersyarat bagi kes SRC International dengan pelaksanaan hukuman berasingan dalam kes 1MDB.
“Kami bersama Raja Berperlembagaan dan AGC.
“Hormati titah Agong. Hormati keputusan Mahkamah. Tegakkan kedaulatan undang-undang. Jalan terus!” katanya.



