
GEORGE TOWN – Kerajaan negeri menyangkal dakwaan kononnya cek zakat berjumlah RM100,000 diseleweng bagi membiayai lawatan delegasi kerajaan negeri ke Mesir, sebaliknya peruntukan itu menggunakan Kumpulan Wang Pentadbiran dalam belanjawan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) 2025.
Timbalan Ketua Menteri I, Mohamad Abdul Hamid berkata, tiada wang agihan zakat kepada golongan asnaf, fakir miskin mahupun wang tawaquf digunakan bagi membiayai lawatan delegasi yang diketuai bekas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak pada tahun lepas.
“Tiada sebarang permohonan dibuat kepada Zakat MAINPP untuk mendapatkan cek zakat seperti yang didakwa dan MAINPP juga tidak pernah menerima cek berkenaan. Justeru, dakwaan itu dinafikan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2027 (Belanjawan Negeri 2027) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Beliau berkata, lawatan itu menghasilkan beberapa pencapaian penting, termasuk kerjasama pemindahan kredit (Mu’adalah) antara Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang dengan Universiti Al-Azhar, penyediaan asrama baharu bagi pelajar Pulau Pinang di Mesir serta perasmian pembukaan Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PIDL) yang pertama di Fakulti Syariah, Universiti Al-Azhar.
Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata delegasi turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Universiti Al-Azhar Salamah Jumaah Dawood serta kunjungan ke Kementerian Wakaf Mesir.
Beliau berkata, lawatan ke Arab Saudi turut melibatkan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Universiti King Abdul Aziz dan Universiti Islam Madinah bagi memperkukuh hubungan serta kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi Islam.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, lawatan berkenaan sewajarnya dinilai berdasarkan tujuan, pencapaian dan manfaat jangka panjang kepada pembangunan pendidikan Islam serta kebajikan pelajar Pulau Pinang di Mesir.
Sebelum ini, terdapat dakwaan berhubung penggunaan wang zakat sebanyak RM100,000 bagi urusan lawatan ke Mesir dan wang itu didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi seorang pegawai ketika delegasi berkenaan berada di negara itu.
Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan negeri bercadang membentangkan Enakmen Wakaf Negeri Pulau Pinang pada persidangan DUN tahun depan bagi memperincikan keseluruhan kitaran hayat wakaf.
Beliau berkata, Pulau Pinang ketika ini belum mempunyai enakmen wakaf khusus yang mengawal selia pentadbiran, pengurusan, pembangunan dan pemajuan harta wakaf secara menyeluruh.
“Peruntukan berkaitan wakaf, nazr dan amanah pada masa ini terkandung dalam Seksyen 89 hingga 95 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004.
“Walaupun peruntukan sedia ada memberikan asas perundangan kepada MAINPP dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan wakaf, nazr dan amanah, peruntukan itu bersifat umum serta tidak menghuraikan secara terperinci pelbagai aspek pengurusan wakaf yang semakin berkembang dan kompleks,” katanya.



