
JASIN – Komuniti nelayan di Kuala Sebatu, di sini, merayu kerajaan negeri memberi perhatian terhadap kemudahan infrastruktur yang semakin uzur, termasuk jeti retak dan jambatan berusia lebih 15 tahun yang dikhuatiri mengancam keselamatan pengguna.
Keadaan jeti yang sudah lebih sedekad tidak menerima kerja pembaikan, selain struktur bangunan berhampiran yang dikatakan hampir runtuh, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan nelayan yang menggunakan kemudahan berkenaan setiap hari.
Mohd Redzuan Abu Samah, 42, nelayan merangkap Ahli Jawatankuasa Pembangunan Nelayan Kuala Sebatu, Sungai Rambai dan ahli Persatuan Nelayan Daerah Jasin berkata, keadaan jambatan yang menghubungkan kawasan itu juga semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera.
“Sebagai contoh jambatan untuk melintas itu pun hampir roboh, rasanya macam nak runtuh dah. Itu nasiblah, siapa yang naik atas itu besok.
“Kalau ada yang jalan, tiba-tiba robohkan. Dah retaklah itu,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Khamis.

Dia berkata, selain jeti dan jambatan, terdapat juga kedai makan yang terbiar dan tidak dimanfaatkan, sedangkan kawasan berkenaan mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai lokasi tarikan pengunjung.
Katanya, penyediaan kemudahan penginapan seperti chalet boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat peruntukan, namun pembangunan itu perlu disertai tarikan lain bagi menggalakkan kehadiran pelancong.
“Di Jeti Kuala Sebatu juga ada kelong, maknanya pengunjung perlu naik bot pergi ke kelong. Di sini ada lebih kurang dalam lima ke enam kelong. Tiga daripadanya persatuan, persatuan nelayan punya. Selebihnya tu individu,” katanya.
Menurutnya, kawasan berkenaan mempunyai kira-kira lima hingga enam kelong yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancongan, dengan tiga daripadanya milik persatuan nelayan manakala selebihnya dimiliki individu.

Dia berharap kerajaan negeri dapat meneliti keperluan komuniti nelayan di Kuala Sebatu, khususnya membabitkan kerja pembaikan jeti dan jambatan serta kemudahan awam lain demi keselamatan penduduk dan pengunjung.
Ujarnya, pembangunan kawasan itu juga perlu diberi perhatian supaya potensi sedia ada dapat dimanfaatkan bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat.



