Abdul El-Sayed
DETROIT – Calon Demokrat, Abdul El-Sayed melakar sejarah apabila memenangi kerusi Senat Amerika Syarikat (AS) dengan 52.3 peratus undi, sekali gus menjadi Muslim pertama dipilih ke dewan itu.
Kemenangan pada Rabu itu turut mengekalkan kerusi penting Demokrat yang sebelum ini ditinggalkan Senator Gary Peters, selain menggagalkan usaha Parti Republikan (GOP) untuk merampasnya.
El-Sayed, 42, bekas pegawai kesihatan awam, meletakkan kos sara hidup keluarga pekerja dan pembendungan pengaruh korporat dalam politik sebagai teras kempennya.
Antara agenda utama beliau ialah Medicare for All, program penjagaan kesihatan sejagat yang dibiayai kerajaan.
Pencabarnya, Mike Rogers, 63, bekas anggota Kongres dan ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), meraih 45.7 peratus undi dengan sokongan kuat Presiden Donald Trump dan kepimpinan Republikan.
Sepanjang kempen, Rogers cuba menggambarkan El-Sayed sebagai calon radikal dengan mengaitkannya dengan ekstremisme Islam dan Gerakan Ikhwanul Muslimin.
Dakwaan itu dinafikan El-Sayed dan disifatkan Demokrat sebagai bersandarkan stereotaip Islamofobia.
Rogers turut cuba meraih sokongan pengundi Yahudi susulan pendirian El-Sayed yang menentang bantuan ketenteraan AS kepada Israel dan menyifatkan kempen pengeboman di Genting Gaza sebagai genosid.
Bagaimanapun, Rogers gagal menangani kebimbangan pengundi terhadap ekonomi dan sokongan yang semakin merosot terhadap Trump.
Menjelang minggu akhir kempen, beliau turut mengambil pendirian berbeza daripada Trump berhubung perang di Iran dan pertikaian perdagangan AS-Kanada, dengan menegaskan kedua-dua isu itu perlu ditamatkan bagi mengurangkan kos kepada perniagaan dan pengguna.


