
SEREMBAN – Jemaah Masjid Kuala Klawang, Jelebu yang menunaikan solat Zuhur bagi menggantikan solat Jumaat pada 30 Oktober lalu diwajibkan mengqadakan semula solat berkenaan kerana ia tidak sah.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin berkata, keputusan itu dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan selepas meneliti dan mempertimbangkan isu berkenaan dalam muzakarah pada 3 November lalu.
Beliau berkata, apabila masjid atau surau yang ditetapkan pihak berkuasa agama sebagai tempat pelaksanaan solat Jumaat bagi sesuatu kawasan kariah beroperasi dan syarat wajib solat Jumaat dipenuhi, individu yang memenuhi syarat berkenaan wajib menunaikannya di tempat ditetapkan.
“Solat Zuhur yang ditunaikan pada hari Jumaat tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak, sedangkan kewajipan solat Jumaat masih tertanggung ke atas individu berkenaan, adalah tidak sah.
“Oleh itu, individu yang menunaikan solat Zuhur dalam keadaan itu wajib qada semula solat Zuhur berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, Faudzinaim menasihatkan umat Islam di Negeri Sembilan supaya sentiasa memelihara kewajipan solat Jumaat dan tidak mengambil mudah perkara yang telah ditetapkan syarak.
Beliau menegaskan, solat Jumaat merupakan fardu ain ke atas setiap lelaki Muslim yang mukallaf, merdeka dan bermastautin.
“Kefarduan ini sabit berdasarkan nas al-Quran, al-Sunnah dan ijmak ulama dan meninggalkannya dengan sengaja dan tanpa keuzuran adalah berdosa.
“Sehubungan itu, setiap individu yang tertakluk kepada kewajipan melaksana dan menunaikan solat Jumaat hendaklah memberikan keutamaan kepada pelaksanaan ibadat itu, serta mengambil segala langkah yang sewajarnya bagi memastikan tuntutan syarak itu dipenuhi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya mengutamakan pelaksanaan ibadat dan mengelakkan perselisihan ketika berada di masjid atau surau.
Katanya, semua pihak yang diberi amanah menguruskan masjid dan surau perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti bagi memastikan syiar Islam terus terpelihara.



