
KUCHING – Sarawak mahu agenda digitalisasi dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif dan berkesan kepada rakyat.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan infrastruktur digital sahaja tidak mencukupi tanpa keupayaan menggunakan teknologi berkenaan untuk meningkatkan produktiviti serta membantu penjawat awam menjalankan tugas.
Menurutnya, aplikasi pembantu AI dikenali sebagai ADAM AI merupakan antara contoh penggunaan teknologi yang dibangunkan khusus bagi menyokong urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri.
Beliau berkata, aplikasi berkenaan membolehkan penjawat awam mengakses maklumat kerajaan yang dibenarkan, menjalankan penyelidikan dan analisis dasar serta menyediakan dokumen rasmi dengan lebih berkesan.
“Teknologi bukan sekadar berfungsi untuk mendigitalkan proses sedia ada. Sebaliknya, teknologi mesti membolehkan kita bekerja dengan lebih bijak, memanfaatkan maklumat dengan lebih berkesan serta memberikan nilai tambah yang lebih besar kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Sarawak 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), pada Rabu.
Abang Johari berkata, agenda berkenaan turut diperkukuh menerusi pelancaran Platform Infrastruktur Kecerdasan Buatan Berdaulat Sarawak pada 17 Ogos lalu.
Menurutnya, platform itu merupakan langkah penting bagi memperkukuh keupayaan AI tempatan serta menyediakan asas kepada kawalan yang lebih menyeluruh terhadap data kerajaan dan sumber digital negeri.
Beliau menjelaskan, penggunaan AI perlu diterjemahkan kepada aplikasi praktikal yang membantu penjawat awam membuat keputusan, menganalisis maklumat dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan.
Bagaimanapun, katanya, teknologi berkenaan tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia, integriti dan akauntabiliti dalam proses membuat keputusan kerajaan.
Abang Johari menegaskan bahawa tanggungjawab terhadap keputusan kerajaan mesti kekal pada pegawai yang diberikan amanah untuk membuat keputusan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, ADAM AI yang dibangunkan menerusi Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU) telah dilancarkan pada 7 Julai lalu sebagai pembantu AI khusus untuk penjawat awam negeri.
Aplikasi itu menggunakan maklumat daripada repositori rasmi kerajaan yang dibenarkan bagi membantu meningkatkan kebolehpercayaan maklumat dalam urusan pentadbiran.
Beliau berkata, pembangunan bakat, kepakaran dan keupayaan institusi juga perlu berjalan seiring dengan pelaburan infrastruktur digital bagi memastikan teknologi mampu memberikan manfaat ekonomi dan sosial kepada rakyat.
Sehubungan itu, Sarawak akan terus memberikan tumpuan kepada pembangunan kemahiran digital serta kepimpinan penjawat awam supaya mereka mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keperluan masa depan.

