
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Pendidikan wanita pertama negara, Tan Sri Asiah Abu Samah, meninggal dunia pada usia 89 tahun akibat komplikasi jantung di Hospital KPJ Damansara, di sini, pada jam 5 pagi Rabu.
Berita pemergian Allahyarhamah disahkan oleh anak saudaranya, Shafinaz Shamsudin.
Menurut Shafinaz, urusan memandikan dan mengafankan jenazah dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zuhur.
Allahyarhamah mencipta sejarah apabila dilantik sebagai wanita pertama memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan di Kementerian Pendidikan pada 27 November 1991. Beliau bersara wajib pada 1992.
Allahyarhamah merupakan graduan Universiti Malaya, Singapura, dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sejarah serta Diploma Pendidikan pada 1961.
Beliau memulakan kerjaya dalam bidang pendidikan sebagai guru di Sekolah Penang Free, Pulau Pinang.
Sepanjang perkhidmatannya, Allahyarhamah turut memegang beberapa jawatan penting dalam Kementerian Pendidikan, termasuk Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan II sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan I pada pertengahan 1990.
