
GAZA – Pasukan pendudukan Israel melakukan empat pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza sehingga mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 52 rakyat Palestin dan kecederaan 128 yang lain, menurut laporan perubatan.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan bahawa jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober tahun lalu telah meningkat kepada 42,227 kematian yang dilaporkan, dengan tambahan 98,464 individu mengalami kecederaan, lapor WAFA.
Terbaharu, dalam pembunuhan beramai-ramai Israel pada Ahad, lima kanak-kanak terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat serangan udara Israel yang menyasarkan bahagian barat kem pelarian Al-Shati (pantai), yang terletak di utara Bandar Gaza.
Sumber tempatan memaklumkan bahawa dron Israel telah membedil sekumpulan kanak-kanak yang bermain berhampiran sebuah kafe di kem Al-Shati dan telah meragut nyawa lima orang kanak-kanak tidak berdosa serta beberapa yang lain cedera.






