JASIN – Pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS), khususnya sektor automotif, berpotensi merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai menerusi pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk setempat.
Penduduk berharap potensi sektor berkenaan diberi perhatian menerusi penyediaan kawasan industri yang lebih tersusun bagi membolehkan pengusaha tempatan mengembangkan perniagaan, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda.
Seorang penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Pak Mail berkata, kebanyakan pengusaha bengkel automotif dan kenderaan berat di Sungai Rambai ketika ini menjalankan operasi di kawasan kediaman masing-masing berikutan ketiadaan kawasan khusus untuk aktiviti berkenaan.
“Kalau tengok di Sungai Rambai, kebanyakan bengkel berada di belakang rumah. Bengkel automotif dan bengkel lori pun ada yang beroperasi di kawasan rumah.
“Kita harap ada pembangunan IKS, khususnya industri automotif, supaya pengusaha tempatan mempunyai tempat lebih sesuai untuk menjalankan perniagaan,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) di sini, hari ini.
Dia berkata, pembangunan sektor itu juga boleh membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda yang ketika ini terpaksa berhijrah ke bandar berhampiran seperti Muar dan Melaka untuk mencari pekerjaan.

Katanya, peluang perniagaan yang terhad turut memberi kesan kepada peniaga kecil yang bergantung kepada pelanggan setempat bagi meneruskan kelangsungan perniagaan.
“Anak muda di sini majoritinya pergi ke bandar seperti Muar dan Melaka untuk bekerja. Dari segi peluang perniagaan pula, kalau berniaga setiap hari pun kadang-kadang pelanggan tidak ramai.
“Peniaga kecil sekadar cukup makan kerana jumlah pelanggan tidak begitu banyak,” katanya.
Sementara itu, seorang pemilik bengkel automotif Azman Hasan, yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang berkenaan berharap pihak berkuasa berkaitan dapat mempermudah urusan permohonan menggunakan tanah rizab kerajaan bagi membolehkannya mendapatkan ruang tambahan untuk mengembangkan operasi bengkel.

Katanya, proses permohonan yang memerlukan pelbagai dokumen serta urusan berulang-alik ke pejabat berkaitan telah diusahakan antara cabaran dihadapi pengusaha yang memerlukan kawasan tambahan untuk menjalankan perniagaan.
“Kadang-kadang kita kena turun naik pejabat, sediakan macam-macam dokumen dan tunggu kelulusan. Ada kalanya sudah berbulan-bulan, tetapi masih belum ada perkembangan.
“Kita bukan mahu menggunakan tanah kerajaan sesuka hati, cuma berharap urusan permohonan dapat dipermudahkan kerana kita memang perlukan ruang tambahan untuk bengkel,” katanya.
Dia berkata, ruang tambahan itu penting bagi menampung keperluan operasi bengkel, selain membolehkan perniagaan dikembangkan dengan lebih teratur.
Ujarnya, pembangunan kawasan IKS yang lebih tersusun bukan sahaja dapat membantu pengusaha automotif tempatan, malah berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan kegiatan ekonomi di Sungai Rambai.


